Kingston: Bintang pecut Jamaica, Kishane Thompson menyifatkan pingat perak 100 meter (m) yang dimenangi di Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai ‘batu loncatan besar’ dalam kariernya, namun percaya masih ada ruang besar untuk terus memperbaiki diri menjelang Kejohanan Dunia di Tokyo, September ini.
Pelari berusia 23 tahun itu hampir mengejutkan juara dunia Noah Lyles di pentas Olimpik apabila hanya dipisahkan 0.005 saat (s), malah ada penyiar yang terlebih awal mengisytiharkan Thompson sebagai pemenang.
“Ia sudah berlalu. Saya tak boleh terlalu lama menoleh ke belakang,” kata Thompson dalam temu bual bersama AFP di Kingston.
“Saya boleh renung kesilapan saya, tahu apa yang boleh dibuat lebih baik… tapi marah takkan membantu. Saya perlu terima dan terus bergerak ke hadapan.”
Thompson mengakhiri musim lalu sebagai pelari 100m terpantas dunia dengan catatan 9.77s yang dilakar ketika Kejohanan Kebangsaan Jamaica, selain menghadiahkan negaranya pingat perak Olimpik yang tidak dijangka.
“Secara jujurnya, ia satu permulaan yang besar dalam perkembangan saya, bukan hanya sebagai atlet, tapi juga sebagai individu,” katanya.
Berlatih di bawah bimbingan jurulatih tersohor Stephen Francis bersama kelab Trek dan Padang MVP, Thompson menjalani pramusim yang lebih agresif tahun ini – termasuk dua acara 60m dalam dewan dan kemenangan di Astana, Kazakhstan pada Januari lalu.
Namun bagi Thompson, kesempurnaan bukanlah matlamat.
“Saya tak mahu segala-galanya jadi sempurna kerana bila sempurna, maknanya tiada ruang untuk perbaikan,” jelasnya.
“Saya sentiasa mahu jadi lebih baik daripada versi saya yang sebelumnya.”
Walaupun namanya kini mula disebut-sebut sebagai pewaris legasi Usain Bolt, pemegang rekod dunia 100m (9.58s), Thompson enggan meletakkan sasaran masa untuk dipecahkan.
“Saya tak fikir mengenai masa. Masa akan datang bila saya ikut arahan jurulatih dan buat yang terbaik dalam situasi semasa.”
Fokus utamanya kini terarah ke Kejohanan Dunia di Tokyo – dan peluang untuk menumbangkan Lyles.
“Tokyo ialah sasaran semua orang. Jadi itulah matlamat saya,” katanya yakin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




