THT akhiri penantian 10 tahun julang treble

THT akhiri penantian 10 tahun julang treble

THT menjulang Piala TNB 2023 selepas menewaskan TNB, 2-1 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Sabtu. – Foto Bernama

PASUKAN Hoki Terengganu (THT) mengakhiri penantian 10 tahun untuk mendakap kejuaraan treble selepas menjinakkan penyandang juara Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2-1 dalam perlawanan akhir Piala TNB di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Sabtu.

Skuad kendalian Seo Jong-ho sebelum itu telah pun berada dalam kelas tersendiri apabila menjuarai Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.

Perlawanan berintensiti tinggi dua pasukan pilihan musim ini itu bermula seimbang apabila kedua-duanya mengatur serangan dan melakukan beberapa percubaan berbahaya di pintu gol lawan masing-masing.

Namun THT terlebih dulu memecah kebuntuan menerusi jaringan padang bintang sensasi Faizal Saari pada minit ke-20 untuk mendahului anak buah Nor Saiful Zaini Nasiruddin.

TNB yang tidak mengalah kembali menyusun dan akhirnya meledak jaringan mendapat rentak menerusi sentuhan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-43.

Biarpun begitu kegembiraan TNB tidak kekal lama apabila pakar pukulan sudut penalti THT dari Korea Selatan, Jang Jongh-yun menambah gol pada minit ke-52 untuk kemenangan 2-1.

“Kemenangan ini merupakan satu sejarah buat Terengganu selepas 10 tahun ditubuhkan dan saya percaya ia titik peluh pihak pengurusan serta Menteri Besar yang sentiasa mempercayai kemampuan kami.

“Kita memang berjuang hingga ke titisan darah terakhir, bila sudah mendahului kita jadikan strategi bertahan hingga pada saat akhir,” kata kapten pasukan Mohd Fitri Saari.

Sementara itu, Negeri Sembilan (NSE) pula unggul merangkul Piala Vivian May Soars selepas menewaskan KPT-Uniten Thunder (KPT) menerusi penentuan pukulan penalti 3-2 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa penuh perlawanan.

Ketiga-tiga pukulan disempurnakan oleh pemain hoki wanita negara Hanis Nadiah Onn, kapten pasukan Nuraini Abdul Rashid dan Nur Afiqah Syahzani Azhar.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan anak buah K Rajan turut meraih gelaran trebel buat julung kalinya selepas menjuarai Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Wanita Malaysia musim ini.

Dalam pada itu, Rajan nyata gembira dengan semangat juang dipamerkan pemainnya terutama aksi cemerlang penjaga gawang Mashitah Ab Khalid dalam menafikan beberapa cubaan menarik pihak lawan.

“Saya gembira sebab kemenangan hari ini sebenarnya melalui cara yang susah dan pujian harus diberikan kepada Mashitah kerana daripada shoot out dan perlawanan sebab dia berjaya buat clear save. Namun semua pemain juga berjaya memainkan peranan mereka dengan baik,” katanya.