sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pasukan Hoki Terengganu (THT) melengkapkan musim yang gemilang dengan meraih kejuaraan treble musim ini selepas mengalahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-0 menerusi shoot out selepas kedudukan terikat 1-1 dalam aksi final Piala TNB di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Malah, pemain berpengalaman THT, Faizal Saari juga berjaya menutup musim 2025 dengan cemerlang dan mengumumkan dirinya akan bersara daripada skuad kebangsaan selepas 15 tahun menabur bakti buat Speedy Tigers.
Dalam perlawanan akhir itu, TNB terlebih dahulu bermula garang apabila berada di depan menerusi pukulan sudut penalti yang bijak disempurnakan oleh bintang Korea Selatan, Jang Jong-hyun pada minit ketiga.
Jaringan itu mengejutkan skuad kendalian Mohd Hafizi Baharom sebelum meningkatkan intensiti permainan bagi mendapatkan jaringan penyamaan.
THT bijak menggunakan peluang kedua melalui pukulan sudut penalti untuk menyamakan kedudukan 1-1 selepas Muhammad Arif Syafie Ishak melepaskan pukulan laju minit ke-18.
Di separuh masa kedua, anak buah Hafizi dan Nor Saiful Zaini Nasiruddin terus merencanakan pelbagai gerakan untuk mendapatkan jaringan kedua namun kedua-dua penjaga gol berjaya menafikan beberapa peluang terbaik sepanjang perlawanan.
Pemenang terpaksa ditentukan melalui shoot out selepas keputusan terikat seri dan pujian harus diberikan kepada penjaga gol THT, Muhammad Hafizuddin Othman apabila menjadi hero selepas menghalang jaringan pemain TNB.
Malah pemain THT dilihat lebih bijak menggunakan peluang untuk yang diberikan untuk memastikan mereka kembali merampas kejuaraan yang terlepas pada tahun lepas.
Untuk rekod, THT sebelum ini muncul juara Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia (MHL).
Sebagai rekod, perlawanan final adalah kali keempat berturut-turut TNB dan THT bertemu dalam aksi final Piala TNB.
TNB menjuarai Piala TNB bagi edisi 2022 dan 2024, manakala THT menjuarai edisi 2021 dan 2023.
Sementara itu, Blue Warrios berjaya menjulang trofi Piala Vivian May Soars selepas mengalahkan Malaysian University 3-2 menerus shoot out selepas kedudukan terikat 1-1 dalam masa sebenar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




