am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Polis tidak menolak kemungkinan kejadian seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun yang terjatuh dari tingkat empat bangunan sekolah di sini, semalam, dipercayai mangsa tidak dapat menerima teguran guru kerana membawa telefon bimbit ke sekolah.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati pelajar terbabit ditegur guru pada 26 Februari lalu, kerana dikesan membawa telefon bimbit ke sekolah.
Beliau berkata, telefon bimbit milik pelajar itu bagaimanapun tidak dirampas pihak sekolah dan pihak polis sudah mengambil keterangan guru yang menegur mangsa.
“Mengikut keterangan awal, telefon bimbit itu tidak dirampas, namun mangsa dipercayai sukar menerima teguran yang dibuat guru.
“Mangsa merupakan orang kelainan upaya (OKU) pendengaran dan autisme, dia juga difahamkan mudah tantrum, namun kita masih menjalankan siasatan lanjut.
“Kita juga sedang menyiasat sama ada terdapat sebarang komunikasi di media sosial seperti WhatsApp dan sebagainya atau dorongan yang boleh mendorong mangsa mencederakan dirinya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini, hari ini.
Adzli berkata, setakat ini tiada sebarang laporan atau aduan berkaitan unsur buli diterima daripada mangsa mahupun ibu bapanya.
Katanya, pemeriksaan doktor juga mendapati kecederaan dialami konsisten dengan insiden jatuh dari tempat tinggi dan tiada kesan lain seperti kecederaan akibat perbuatan pihak lain.
“Saya sendiri sudah berjumpa dengan doktor yang merawatnya di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) serta bertemu ibu bapa mangsa dan mereka memaklumkan tiada aduan buli sebelum ini.
“Mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kiri badan termasuk patah tangan kiri, patah tulang selangka kiri, patah tulang pinggul serta kecederaan pada paru-paru kiri.
“Hasil maklumat daripada doktor mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedarkan diri selain tiada kecederaan di kepala,” katanya.
Adzli berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa terjatuh dari tingkat empat bangunan yang ketika itu tidak digunakan kerana dikhaskan untuk sesi petang.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian terdapat dua buah kerusi di tingkat empat dipercayai digunakan mangsa sebelum kejadian.
“Rakaman menunjukkan mangsa jatuh pada jam 7.58 pagi dan selang seminit kemudian pekerja pembersihan dilihat memberi bantuan.
“Berapa keping nota tulisan tangan turut dirampas bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata , kes disiasat mengikut Seksyen 507D Kanun Keseksaan berkaitan komunikasi yang boleh mendorong seseorang mencederakan diri atau membunuh diri.
Adzli turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai.
“Kita sudah arahkan satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengenal pasti semua saksi termasuk pelajar dan guru untuk memastikan siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




