Tiada amalan kronisme dalam pemilihan Kampung Angkat Madani 2025 – PDRM

Tiada amalan kronisme dalam pemilihan Kampung Angkat Madani 2025 – PDRM

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiada amalan kronisme dalam pemilihan Kampung Parit Seberang, Kuala Pilah, sebagai Kampung Angkat Madani 2025 yang juga tempat asal ibu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Unit Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi kenyataan memaklumkan, pemilihan dibuat berdasarkan garis panduan ditetapkan oleh Jabatan Perdana Menteri yang merujuk kampung kelahiran atau tempat pemimpin dibesarkan atau mana-mana kampung dipilih.

Menurutnya, pemimpin terdiri daripada ahli jemaah menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan atau agensi persekutuan, pengerusi dan ketua pegawai eksekutif badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) persekutuan.

“Program Satu Pemimpin Satu Kampung atau Santuni Madani ini adalah satu kaedah meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat melalui pemantauan secara langsung serta libat urus bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan penduduk di kampung terbabit.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Mei 2024 memutuskan bahawa setiap pemimpin perlu mengemukakan nama kampung pilihan masing-masing dalam tempoh dua minggu kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM.

“ICU JPM menyediakan terma rujukan dan garis panduan bagi pelaksanaan Program Santuni Madani,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, sebelum ini Ketua Polis Negara sudah memilih dan menyempurnakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani Pertama PDRM di Kampung Jenal, Dabong, Kelantan pada 27 Ogos tahun lalu, yang memperuntukkan perbelanjaan RM2 juta.

Katanya, program kemasyarakatan yang dianjurkan PDRM itu mampu meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat, selain menyokong usaha kerajaan sejajar slogan pasukan ‘Sedia Berkhidmat’ dan tema Hari Polis ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan tindakan Razarudin memilih kampung ibunya sebagai Kampung Angkat Madani 2025 sebagai amalan kronisme yang semakin memuncak dalam kerajaan hari ini.

Semalam, Razarudin merasmikan Program Keharmonian Masyarakat Kampung Angkat Madani 2025 itu yang juga program terakhir beliau sebagai Ketua Polis Negara.

Razarudin dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 23 Jun 2023 dan majlis serah terima tugas jawatan tertinggi PDRM itu dijadualkan pada 20 Jun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top