Tiada anggota delegasi AS kekal di Islamabad selepas rundingan dengan Iran gagal

Tiada anggota delegasi AS kekal di Islamabad selepas rundingan dengan Iran gagal
Tiada anggota delegasi AS kekal di Islamabad selepas rundingan dengan Iran gagal

Naib Presiden AS JD Vance melambai ketika menaiki Air Force Two, selepas rundingan damai dengan Iran di Islamabad, Pakistan, Ahad. Foto Reuters.

WASHINGTON – Tiada anggota pasukan perunding Amerika Syarikat (AS) kekal di Islamabad selepas rundingan di ibu negara Pakistan itu gagal mencapai kemajuan bagi menamatkan perang selama beberapa minggu dengan Iran, menurut seorang pegawai AS pada Ahad.

Anadolu Ajansi melaporkan bahawa pegawai itu menyatakan tiada perunding AS – termasuk utusan khas Steve Witkoff dan menantu serta penasihat Presiden Donald Trump, Jared Kushner – yang kekal di Islamabad.

Naib Presiden AS, JD Vance yang mengetuai delegasi itu, sebelum ini berkata Washington dan Tehran gagal mencapai kata sepakat walaupun rundingan dilanjutkan.

Anggota pasukan teknikal yang terlibat dalam rundingan itu juga telah berlepas pulang, katanya.

Delegasi Iran dan AS menamatkan pusingan terbaharu rundingan mereka di Islamabad pada awal Ahad tanpa mencapai sebarang persetujuan.

Rundingan hasil perantaraan Pakistan itu berakhir selepas beberapa pusingan perbincangan dan pertukaran cadangan.

Kedua-dua pihak meninggalkan Islamabad dengan perbezaan utama masih belum diselesaikan, menandakan usaha diplomatik lanjut diperlukan.

Rundingan itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menamatkan perang AS-Israel terhadap Iran yang telah mengorbankan lebih 3,300 orang sejak 28 Feb lepas, sebelum gencatan senjata rapuh selama dua minggu diusahakan awal minggu ini.

Sejak tercetusnya perang itu, Iran turut menyekat pergerakan kapal melalui Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran minyak dan gas. – Bernama

 

 

 

 

 

 

Scroll to Top