Tiada bahas tapi boleh tanya soalan

Tiada bahas tapi boleh tanya soalan

roha@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen boleh mengemukakan pertanyaan pada Persidangan Khas Dewan Rakyat selama lima hari mulai 26 Julai ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, berkata Ahli Parlimen penyokong kerajaan dan pembangkang tidak akan dihalang jika mahu mengemukakan sebarang pertanyaan.

Katanya, ruang akan diberikan dan semua akan diberikan laluan jika mereka menekan butang pada pembesar suara di meja masing-masing.

“Pada persidangan ini tiada sebarang usul jadi tiada sebarang perbahasan, namun saya kira jika ada cadangan atau pertanyaan boleh kemuka pada sesi soal jawab, itu juga dikira perbahasan,” katanya dihubungi, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa sidang khas itu bukan persidangan Parlimen sebenar, namun hanya majlis taklimat jika tiada sesi pembentangan usul dan perbahasan dibenarkan.

Katanya, beliau dan tiga Ahli Parlimen dari PEJUANG mungkin hanya akan hadir sekiranya sesi perbahasan dan pembentangan usul dibenarkan.

Abdul Rashid menjelaskan Ahli Parlimen ada diberikan aturan mesyuarat dan mereka boleh rujuk daripada jadual disertakan.

Ditanya mengenai usul dikemuka Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya isu COVID-19 dan proklamasi darurat dibahaskan di Dewan Rakyat, katanya beliau tidak berkesempatan melihat usul itu tetapi diberitahu usul itu dikemukakan kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin.

“Beliau boleh kemukakan usul dan terpulang kepada Speaker menerima atau tidak. Begitu juga jika ada Ahli Parlimen lain mahu kemukakan usul,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top