'Tiada benci pada Kak KM, cuma menegur' – Ustazah Asma' Harun

'Tiada benci pada Kak KM, cuma menegur' – Ustazah Asma' Harun

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pendakwah terkenal Ustazah Asma’ Harun memaklumkan tidak pernah membenci atau memusuhi pempengaruh dan usahawan, Kak KM walaupun sering menegur perbuatan serta tingkah lakunya di media sosial.

Kenyataan ini dizahirkan Asma’ menerusi satu hantaran di Facebooknya, semalam selepas tersempak dengan Kak KM atau nama sebenarnya Liana Rosli di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kami sekeluarga tiba daripada Tanah Suci. Ketika di imigresen saya yang nampak Kak KM dan terus pergi menegur, bersalaman, dan beliau langsung merakam pertemuan kami.

“Sesiapa yang biasa mengikuti kuliah ‘online’ saya khususnya jam 7 pagi, tentu maklum saya kerap kali menegur Kak KM secara terbuka, terus terang menyebut namanya tanpa berlapik, juga melalui penulisan, berkaitan penampilan beliau sekeluarga.

“Saat bertemu semalam, seolahnya kami tidak ada apa-apa isu ‘panas’ walau sering bertentangan di media sosial. Kak KM pernah meluah geram pada saya, boleh jadi menyampah dengan saya, namun kami masih tetap boleh saling menghormati,” tulisnya.

Asma’ berkata, dia sememangnya tidak mahu wujud unsur permusuhan semasa berdakwah.

“Jika setiap orang yang kita tegur perlu disusuli dengan wajah yang dingin, dikeraskan suara dan putuskan adab, maka dakwah akan berubah menjadi permusuhan, bukan nasihat.

“Hakikatnya interaksi di media dan secara berdepan adalah dua suasana yang berbeza. Perlakuan kami semalam bukan kepura-puraan atau lakonan, itu adalah saling hormat dan kasih mesra.

“Berbeza tentang sesuatu bukan bermaksud boleh hilang akhlak, salam tetap diberi, kasih sayang terhadap saudara seIslam tetap dirasai. Berlapang dada ketika berjumpa bukan bermaksud menghalalkan apa yang salah, prinsip dan pendirian tidak pernah berubah,” tulisnya lagi.

Mengulangi kenyataannya, Asma’ menjelaskan tidak pernah ada rasa benci pada individu itu kerana dia menegur sesuatu yang melampaui batasan agama, tetapi dinormalisasi sehingga merosakkan nilai agama, adab dan budaya.

“Teguran itu lahir daripada rasa tanggungjawab dan kasih sayang, bukan kebencian. Saya tidak pernah menarik balik teguran saya. Prinsip saya tidak berubah.

“Yang berubah hanyalah situasi daripada tulisan dan kuliah kepada pertemuan secara berdepan, lalu yang mendahului adalah adab.

“Semoga Kak KM, keluarganya dan kita semua sentiasa berubah ke arah kebaikan, diberikan hidayah oleh Allah SWT, mentaati perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah sampai akhir hidup kita,” katanya.

Perkongsian ini ternyata menerima respon positif netizen yang memuji tindakan Asma’. Mereka berharap agar usahanya yang mahu membetulkan perkara yang salah, akan berterusan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top