am@hmetro.com.my
Georgetown: Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan terbuka Mahkamah Koroner berhubung inkues bagi menentukan punca kematian warga Australia, Anna Jenkins selepas mendapati tiada bukti konklusif mengklasifikasikan kematian wanita itu sebagai pembunuhan.
Hakim Rofiah Mohamad, berkata keputusan itu dibuat selepas mendapati punca kematian Jenkins tidak dapat dipastikan dengan tahap keyakinan tertinggi berdasarkan fakta yang dikemukakan dalam inkues berkenaan.
Katanya, mahkamah membuat keputusan itu berpandukan keterangan yang dikemukakan dan tidak boleh membuat keputusan berdasarkan spekulasi walaupun terdapat inferens munasabah kemungkinan wujudnya pembabitan pihak lain dalam kes itu.
“Memang tidak dapat dinafikan pembunuhan adalah satu dakwaan serius yang perlu dipertimbangkan oleh koroner.
“Walaupun mungkin terdapat pembabitan pihak lain ia kekal sebagai spekulasi semata-mata dan tiada bukti untuk membuktikannya.
“Keadaan tulang ditemui memberi inferens munasabah wujud pembabitan orang lain tetapi ia tetap adalah satu spelukasi,” katanya ketika menyampaikan keputusan semakan semula keputusan terbuka Mahkamah Koroner di sini, hari ini.
Sebelum ini anak mendiang, Gregory Steven Jenkins memohon mahkamah membuat keputusan ibunya meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian kiri badan seperti ditentukan pihak berkuasa Australia berdasarkan ujian ke atas serpihan tulang mendiang sebelum dikebumikan.
Prosiding hari ini turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong dan peguam mewakili Gregory, David Dev Peter.
Rofiah berkata, mahkamah turut mengambil kira siasatan awal hanya dijalankan dalam kerangka orang hilang dan bukan siasatan jenayah seperti kes penculikan atau pembunuhan.
Beliau turut menyifatkan situasi itu sebagai ‘amat malang’ dan berkata kecurigaan sahaja tidak mencukupi untuk mengklasifikasikan kematian itu sebagai pembunuhan.
“Fakta (kes pembunuhan) hanya akan diperoleh dalam satu siasatan serius dan menyeluruh, adalah amat malang siasatan hanya dijalankan dalam kerangka orang hilang dan siasatan tidak pernah menjurus kes culik atau elemen jenayah lain.
“Ini kerana apabila tulang belulang ditemui di lokasi tidak terjangkau dan munasabah sepatutnya memberi satu petunjuk baharu wujudnya elemen jenayah mangsa bukan sekadar hilang tetapi meninggal dunia di satu lokasi amat janggal,” katanya.
Rofiah berkata, tidak seperti kes-kes terdahulu seperti mendiang Teoh Beng Hock dan Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang mana keputusan punca kematian dapat dicapai berdasarkan bukti kukuh.
“Mahkamah ingin membezakan kes ini dengan kes kematian Teoh Beng Hock dan Muhammad Adib bahawa tiada secebis bukti atau dapatan bagaimana si mati menemui ajal, mahkamah tiada pilihan selain mengekalkan keputusan terbuka,” katanya.
Beliau bagaimanapun berpandangan, Timbalan Pendakwa Raya mempunyai budi bicara di bawah Kanun Tatacara Jenayah untuk memberikan arahan lanjut berhubung bagaimana siasatan itu perlu diteruskan, khususnya di lokasi di mana mayat mendiang ditemui.
Sementara itu, Gregory ketika ditemui di luar kamar mahkamah berterima kasih kepada hakim Mahkamah Tinggi kerana mempertimbangkan semua keterangan yang dikemukakan serta hujahan peguamnya.
Beliau turut berharap Timbalan Pendakwa Raya, setelah berunding dengan peguamnya, akan bersetuju untuk membuka semula siasatan sebagai kes bunuh.
© New Straits Times Press (M) Bhd