am@hmetro.com.my
Johor Bahru: “Kami hanya mahu keadilan untuk anak kami, bukan simpati. Kami percaya pada sistem undang-undang, tapi selepas lapan bulan menunggu, ini saja keputusan yang kami terima.” Demikian luahan seorang ibu, Syaza Syamimi Ahmad Sufian, 28.
Syaza menuntut keadilan buat anak lelakinya, Syakir Ali Syakir Mohamad Syazwin berumur setahun dua bulan yang disyaki menjadi mangsa penderaan ketika berada di sebuah pusat jagaan kanak-kanak swasta di Johor Bahru, awal tahun ini.
Katanya, kejadian bermula pada 17 Januari lalu, apabila dia dan suami menyedari terdapat kesan lebam panjang dan kemerahan di belakang badan anaknya sebaik selesai mandikan anak tunggal mereka, sejurus menjemput pulang dari pusat jagaan.
“Keesokannya kami bawa ke klinik swasta berhampiran tetapi doktor hanya bagi ubat gatal menyebabkan saya dan suami tidak berpuas hati.
“Pada 19 Januari, kami ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan hasil pemeriksaan mengesahkan kesan kemerahan itu bukan alergi atau gigitan, sebaliknya berkemungkinan akibat dipukul atau jatuh pada objek keras dan panjang.
“Susulan itu, laporan polis segera dibuat di Balai Polis Sentral Johor Bahru kerana ianya berhampiran dengan hospital untuk membolehkan pemeriksaan lanjut dijalankan di bawah prosedur kes penderaan kanak-kanak. “Selepas selesai X-ray dan konsultansi, kes kami kemudiannya dipindahkan ke Balai Polis Iskandar Puteri berikutan dekat dengan lokasi kediaman,” katanya ketika dihubungi.
Syaza yang turut memuat naik hantaran di media sosial memaklumkan, laporan kesihatan penuh yang diterima daripada doktor di HSA pada 25 Februari mengesahkan ia adalah kes dera.
Katanya, dia kemudian ke Balai Polis Iskandar Puteri semula untuk buat permohonan menjalankan siasatan ke atas pusat jagaan dan laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dibuat pada hari sama.
“Bagaimanapun, selama berbulan-bulan tiada sebarang perkembangan dimaklumkan. Hanya selepas dua bulan iaitu pada 7 April, saya dipanggil semula ke balai untuk pengesahan sekiranya mahu kes dibawa ke mahkamah, dan pastinya saya mahu keadilan buat anak saya.
“Dari 8 Julai hingga 5 Ogos, akhirnya saya dapat surat kes ini ditutup kerana tiada saksi menyokong, tiada kesalahan jenayah dan tiada keterangan kukuh. Jadi tiada tindakan akan diambil kepada sesiapa atau mana-mana pihak.
“Saya harap kertas siasatan dapat dibuka semula dan disiasat. Kes saya bertukar-tukar pegawai penyiasat dan membuatkan siasatan lewat dijalankan,” katanya.
Syaza berkata, empat bulan selepas kejadian, dia mengambil keputusan menjaga anaknya dan memohon kerja dari rumah serta mengorbankan gaji.
“Anak sangat trauma, daripada seorang yang sangat ramah dengan semua keluarga, anak sekarang tak mahu dipegang oleh orang lain kecuali saya dan suami. Setiap kali ahli keluarga lain nak pegang dia, dia akan meraung sekuat hati sampai menggigil badan.
“Cuma sekarang Alhamdulillah, keadaannya bertambah baik dan dia sudah mahu bergaul dengan orang lain,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan mengesahkan pihaknya menerima aduan kejadian itu pada 19 Januari lalu.
“Siasatan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu dari aspek pengabaian kanak-kanak di bawah jagaan sebuah taska yang terletak di kawasan Iskandar Puteri.
“Hasil siasatan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor dan arahan diterima kes No Further Action (NFA).
“Ini kerana tiada keterangan kukuh untuk mengaitkan mana-mana pihak dengan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd