am@hmetro.com.my
Melaka : Hasrat peminat untuk kembali menyaksikan kemunculan semula atau ‘comeback’ kumpulan lawak Cecupak yang terkenal lewat 90-an tidak kesampaian selepas salah seorang anggotanya Muhammad Zaidi Mahmud atau Ucop Cecupak tidak berhasrat berbuat demikian.
Bagi Ucop selepas dua anggotanya meninggal dunia iaitu Pak Lah Cecupak (Noor Affendi Nurdin) pada November 2020 akibat kanser usus dan Pian Cecupak (Mohd Rafik Abdul Rahman) pada Januari 2022 akibat serangan jantung dia dan dua ahli asal yang lain kini membawa haluan masing-masing.
Menurut Ucop, dia kini sibuk dengan pembabitan dalam drama dan aktiviti seni lain sementara anggota lain iaitu Jaih Cecupak terbabit dengan dunia perniagaan dan Ropie Cecupak pula mempunyai jadual padat dalam dunia komedi dan lakonan sekali gus membataskan kemunculan semula mereka.
Tambahnya, tidak mungkin untuk dia bersama Ropie kembali semula tambahan dua anggota asal yang sudah tiada justeru kekangan itu menutup permintaan peminat yang ingin melihat mereka di pentas bersama.
Baginya, kenangan pernah dikenali begitu gah sebagai kumpulan lawak terkemuka negara sebaris kumpulan Senario hanya tinggal kenangan selepas pemergian dua anggota kumpulan terbabit.
“Kini saya hanya mampu memejamkan mata dan mengingat semula kisah indah bersama Cecupak yang sempat menghiburkan masyarakat di negara ini dengan keletah yang kami berikan.
“Selepas ini tiada lagi kemunculan semula Cecupak. Apapun saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat yang mendoakan kami. Apa yang pasti saya dan sepupu rapat saya (Ropie) kini membawa haluan masing-masing dalam kerjaya seni,” katanya.
Ucop menerusi penampilan seakan sama dengan gaya Ropie membuatkan ada peminat yang keliru dengan lawak bersahaja mereka yang menghiburkan tambahan gaya dan wajah yang hampir sama.
Dalam perkembangan lain, Ucop turut tampil dengan teater pertamanya di Melaka membawa watak hantu Dracula pada pementasan teater komedi seram berjudul Persidangan Hantu, Permainan Akhir (PHPA).
Katanya, biarpun julung kali memegang watak penting bersama pelakon utama Man Raja Lawak dia puas kerana mampu membawa watak dengan baik sehingga penonton tidak kering gusi dengan telatahnya di pentas menerusi teater komedi arahan Raja Azrey itu.
Jelas Ucop, pada awalnya dia berasa bimbang gagal membawa watak dengan baik namun bersyukur sambutan luar biasa pada tiga persembahan teater berkenaan meningkatkan keyakinannya untuk tampil lebih kerap dalam persembahan teater akan datang seandainya diberi peluang serta tidak bertembung dengan program televisyen dan drama.
Ucop berkata, dia yang tampil dengan banyak filem dan drama juga kini turut diberi muncul dalam watak serius dan tidak terhad kepada komedi kerana hasratnya untuk tampil dengan pelbagai genre kerana seni bukan terhad kepada satu-satu watak sahaja.
Antara filem lakonannya termasuk Kemarau Cinta, Abang Long Fadil, Kapsul dan Jangan Takut: Kau Takut Aku Pun Takut sementara Telefilem membabitkan Neon, Loklak, Tolong Orang Tipu Orang,Tawar, Joyah, Lara Intan Di Hati Laila, The Hantus dan Impak Maksima Underground.
Drama lakonannya pula antaranya Cecupak (1998), Akukah Tanggang (2008), , Ramadan dan Hamdan serta Misteri Jenazah (2018), Plan Cinta (2019), Jaman Tori (2020), Presiden Kampung Morten dan Misi Seremadi (2023) dan yang terbaharu Desa Boy (2025).
© New Straits Times Press (M) Bhd




