am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Tiada dan tamat tempoh lesen memandu adalah kesalahan tertinggi direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali, sebanyak 17,564 kes direkodkan membabitkan pemandu yang tidak memiliki lesen sah atau memandu dengan lesen tamat tempoh.
Beliau berkata, kesalahan kedua tertinggi pula membabitkan lesen kenderaan motor tamat tempoh sebanyak 14,530 kes, diikuti tiada perlindungan insurans sah (10,452 kes) dan lesen vokasional tamat tempoh (3,681 kes).
“Secara keseluruhan 412,475 kenderaan diperiksa di seluruh negeri dalam tempoh berkenaan, dengan 40,097 kenderaan diambil tindakan serta 85,171 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.
“Sebanyak 203 kenderaan turut disita dalam operasi sepanjang tahun ini,” katanya dalam sidang media selepas Operasi Bersepadu di Jalan Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, malam tadi.
Menurutnya, antara kesalahan berjadual utama yang dikuatkuasakan termasuk tidak mematuhi had laju, melanggar isyarat lalu lintas, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan serta menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
Tambahnya, alasan paling kerap diberikan pemandu ialah terlupa memperbaharui lesen memandu, walaupun pelbagai peringatan dan kemudahan sudah disediakan JPJ.
“Saya menyeru semua pengguna jalan raya supaya menyemak tarikh luput lesen dan melakukan pembaharuan segera bagi mengelak tindakan undang-undang serta kesan lebih buruk sekiranya berlaku kemalangan.
“Kini, pembaharuan boleh dibuat dengan mudah menerusi aplikasi MyJPJ, malah lesen boleh diperbaharui sehingga tempoh 10 tahun. Ambillah peluang ini dan pastikan kita tidak melanggar undang-undang jalan raya demi keselamatan diri dan orang lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



