Penyanyi tersohor, Ella, mengambil pendekatan tenang apabila namanya turut dikaitkan dalam isu melibatkan seorang penghibur legenda yang didakwa menyerang Shila Amzah semasa sesi latihan sebuah konsert , awal bulan ini.
Menurut Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 59, dia tidak berada di lokasi ketika insiden berlaku dan pelantun lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah itu hanya mengetahui perkara itu selepas dimaklumkan oleh beberapa individu.
“Ketika saya dengar khabar mengenai insiden itu, saya tak terkejut pun tetapi apabila asyik mengaitkan dengan saya, saya sebenarnya tiada di tempat tersebut.
“Sejujurnya, saya tiada kena mengena dengan kes itu, itu apa yang saya tahu. Saya tenang sahaja tapi dalam masa sama tertanya-tanya juga apa terjadi,” katanya.
Ella berkongsi perkara itu ketika ditemui pada malam Rabu dalam majlis pelancaran Galeri Rockqueen yang berlangsung di Denai Alam, Selangor, malam tadi.
Mengulas lanjut, Ella menjelaskan hubungannya dengan Shila tidak bermasalah malah mereka sempat berinteraksi secara mesra pada malam konsert berlangsung.
“Malam konsert itu saya jumpa Shila okay sahaja, kami berpelukan sebab saya dan dia memang berkawan baik,” ujarnya lagi.
Terdahulu, pada 10 Julai, Shila atau Nurshahila Amir Hamzah, 35, membuat laporan polis dengan mendakwa dirinya telah diserang oleh seorang artis legenda.
Rentetan daripada laporan itu, warganet mula berspekulasi dan menamakan tiga ikon muzik iaitu Datuk Awie, Datuk Amy Search dan Ella, memandangkan ketiga-tiga mereka turut terlibat dalam konsert tersebut.
Namun begitu, Shila kemudian mengesahkan bahawa individu yang dimaksudkan ialah Amy, yang juga bapa kepada pelakon Nabila Huda.