Tiada final keempat berturut-turut untuk Aaron-Wooi Yik

Tiada final keempat berturut-turut untuk Aaron-Wooi Yik

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hasrat beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk meneruskan rentak luar biasa mereka berakhir selepas tersungkur seawal pusingan pertama Terbuka Indonesia apabila tumpas di tangan gandingan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard, hari ini.

Pasangan yang menghuni ranking ketiga dunia itu terpaksa akur tewas dalam pertarungan sengit selama 59 minit dengan keputusan 13-21, 21-19, 18-21 di Istora Senayan, Jakarta.

Meskipun berjaya bangkit pada set kedua selepas ketinggalan, kerja keras Aaron-Wooi Yik di set penentuan masih belum cukup untuk memastikan kemaraan ke pusingan seterusnya pada kejohanan berstatus Super 1000 itu.

Kekalahan itu sekali gus menamatkan siri kecemerlangan mereka yang sebelum ini mara ke tiga final berturut-turut, bermula di Terbuka Thailand, diikuti Masters Malaysia dan Terbuka Singapura, yang menyaksikan mereka menamatkan kemarau kejuaraan negara selama 17 tahun di kejohanan berprestij itu, Ahad lalu.

Sementara itu, beregu wanita utama, Pearly Tan-M Thinaah, memastikan kemaraan ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Taiwan, Sung Shuo Yun-Yu Chien Hui, 21-16, 21-17.

Pertarungan selama 42 minit itu menyaksikan Pearly-Thinaah sekali lagi menjadi ‘mimpi ngeri’ kepada pasangan Taiwan itu, selepas turut menewaskan mereka di pusingan sama tahun lalu.

Turut mencatat keputusan membanggakan ialah satu lagi beregu wanita negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting yang bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menundukkan pasangan tuan rumah, Isyana Syahira Meida-Rinjani Kwinara Nastine, 10-21, 21-14, 21-17 dalam tempoh 54 minit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top