mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Aila Azizul Hisham, 31, mengakui ditawarkan watak dalam filem Pemuja Syaitan selepas berjaya menyakinkan pengarahnya, Liyana Jasmay dengan kemampuan dirinya menerusi sesi uji bakat.
Aila berkata, terdahulu Liyana hadir ke tayangan premier filem Malam Terlarang lakonannya sebelum dia diminta untuk menjalani sesi uji bakat berkenaan.
“Syukur saya berjaya meyakinkan dia dan akhirnya terpilih memegang watak Khatijah. Ia adalah filem seram kedua saya selepas Malam Terlarang.
“Saya memang sukakan genre seram, tapi sejujurnya memang saya penat sikit buat genre hantu sebab dia banyak guna emosi mendalam.
“Kalau boleh saya nak cuba komedi pula selepas ini. Kalau genre aksi mungkin tak sangat, tetapi komedi ataupun drama,” katanya.
Bercerita pengalaman membintangi Pemuja Syaitan, Aila berkata, dia tidak berdepan sebarang gangguan mistik sepanjang penggambaran filem ini walaupun beberapa kejadian didakwa berlaku membabitkan kru serta pelakon lain.
“Saya sendiri tak kena gangguan, tapi ada beberapa kes berlaku di set melibatkan kru dan pelakon lain. Alhamdulillah, saya tak kena apa-apa.
“Dari segi fizikal dan mental, saya rasa lebih kepada penat sebab waktu kerja yang terbalik. Siang tidur, malam ‘shoot’. Seminggu cuma ada satu hari cuti, jadi memang letih sikit,” katanya.
Bercerita mengenai babak ritual yang banyak dilakukan dalam filem terbabit, Aila mengakui tetap mempunyai rasa takut ketika menjalani penggambaran.
Bagaimanapun, dia cuba mengawal perasaan dengan memperkuatkan diri dari sudut rohani.
“Ketakutan itu memang ada, tapi saya kena kuatkan iman. Kalau tidak, benda itu boleh masuk. Saya kena bina ‘benteng’, banyakkan selawat dan cuba jangan terlalu mendalami ritual itu sangat,” katanya.
Menurutnya, dia sentiasa mengingatkan diri bahawa segala ritual yang dilakukan hanyalah sebahagian daripada lakonan dan tidak mahu terlalu hanyut dengan babak berkenaan.
“Saya kena sentiasa ingat yang ini cuma lakonan, bukan betul-betul. Kalau saya terlalu ‘dive deep’, apa-apa pun boleh jadi,” katanya.
Pemuja Syaitan adalah filem sulung arahan Liyana Jasmay yang mengetengahkan genre seram ‘teen slasher’ dan berlatar era 1990-an.
Filem yang menampilkan barisan pelakon antaranya Zul Ariffin, Nadhir Nasar dan Elizabeth Tan ini ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




