am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pekebun menceroboh tanah secara haram di Raub, Pahang tiada hak ke atas tanaman diusahakan mahupun bangunan didirikan di kawasan itu.
Peguam Kanan, Adzly Ab Manas berkata, dalam konteks pencerobohan tanah kebiasaannya, ia membabitkan tanah rizab milik kerajaan dan rizab hutan simpan kekal.
Menurutnya, ini kerana kedua-dua tanah dilindungi dengan Kanun Tanah Negara (KTN) dan Akta Perhutanan Negara 1984 yang tertakluk di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri.
“Ini undang-undang yang jelas dan mantap, jadi penceroboh tiada hak kepada apa yang mereka usahakan termasuk tanaman dan bangunan.
“Tanah diceroboh perlu diserah kepada kerajaan yang berhak,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau mengulas mengenai isu pencerobohan tanah secara haram untuk tanaman durian Musang King di Raub, Pahang yang didakwa berlaku sejak 40 tahun lalu yang belum menemui noktah.
Mengulas lanjut, Adzly berkata, isu pencerobohan tanah untuk tanaman durian beri implikasi terutama dalam aspek alam sekitar.
“Kerugian kepada alam sekitar akan berlaku kerana hutan ribuan ekar ditarah untuk tanaman pokok durian tanpa kawalan dan tidak mematuhi prosedur sepatutnya.
“Bagi saya, mereka (pekebun) sudah mendapat nikmat dengan menuai hasil dari tanah (diteroka) ini hampir puluhan tahun tanpa perlu membayar cukai kepada kerajaan, tidak seperti pemilik tanah bergeran yang perlu membayar cukai tanah pada setiap tahun.
“Ini merugikan kerajaan kerana hasil perhutanan dan cukai tidak dapat dikutip,” katanya.
Selain memulangkan tanah itu kepada kerajaan negeri, Adzly mencadangkan isu berkenaan diselesaikan secara situasi menang-menang dan harmoni.
“Jika ‘penceroboh’ ini bijak dalam perniagaan, saya sarankan mereka bertemu dan berbincang secara bijaksana dengan kerajaan negeri serta mengesyorkan cadangan yang menang-menang, munasabah dan bersivil.
“Cara penyelesaian harmoni sudah tentu boleh membawa keuntungan kepada hasil kerajaan dan penceroboh,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan pertikaian berlaku apabila kumpulan pekebun yang diwakili Save Musang King Alliance (Samka) mendakwa kerajaan negeri melanggar perintah mahkamah.
Ini berikutan tindakan penguatkuasaan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menebang pokok durian dalam Op Sekat 3.0 membabitkan kawasan ladang seluas 202.34 hektar bermula 8 April lalu hingga 3 Mei lalu.
Mereka turut mengumpul 400 tandatangan untuk petisyen menuntut operasi penebangan pokok durian itu dihentikan untuk diserahkan kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui yang juga Penasihat Samka mempertahankan pekebun hingga beliau dan Pengerusi Samka Wilson Chang ditahan polis pada 14 April lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Operasi terbaharu itu bukan kali pertama, sebaliknya penguatkuasaan sama pernah dilaksana di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub pada 11 Julai 2021.
Ketika itu, 100 hektar kebun durian Musang King haram membabitkan 15,000 pokok dimusnahkan.
Untuk rekod, pertikaian bermula sejak Jun 2020 apabila kerajaan Pahang memberi hak pajakan ke atas 5,357 ekar (kira-kira 2,168 hektar) tanah hutan di Raub kepada syarikat usaha sama Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd untuk projek pemetaan dan penanaman durian Musang King.
Pada 14 Julai 2020, laporan menyebut kerajaan Pahang mengumumkan skim pemutihan tanah membolehkan pekebun durian Musang King di Raub untuk terus mengusahakan tanah secara sah dengan syarat tertentu, termasuk pembayaran sewa tanah dan penjualan hasil kepada syarikat dilantik.
Ramai pekebun durian tempatan tidak berpuas hati dengan syarat skim ditawar dan mendakwa menduduki tanah kerajaan berkaitan sejak 1970-an melalui Rancangan Buku Hijau (RBH).
© New Straits Times Press (M) Bhd