Tiada harga lantai buka ruang eksploitasi pemandu ehailing – SEM

Tiada harga lantai buka ruang eksploitasi pemandu ehailing – SEM

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Keengganan kementerian berkenaan memperkenalkan dasar harga lantai bagi perkhidmatan e-hailing membuka ruang eksploitasi ke atas pemandu.

Sahabat E-hailing Malaysia (SEM) dalam kenyataan hari ini berkata, keengganan pihak berkuasa terbabit menimbulkan kegusaran serius ke atas nasib pemandu yang terus tertekan.

“Berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 (Akta A1552), kuasa penetapan tambang e-hailing diberikan sepenuhnya kepada syarikat penyedia perkhidmatan.

“Pemandu terdedah kepada risiko eksploitasi kadar bayaran yang tidak munasabah, manakala pengguna pula berhadapan dengan struktur harga yang tidak telus serta mudah dimanipulasi,” katanya kenyataan itu.

Menurutnya, umum sedia maklum pendirian Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) yang enggan memperkenalkan dasar untuk mengawal kadar tambang namun persoalannya adakah ia pendirian sama dikongsi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SEM berkata, timbul persoalan sama ada dasar tidak mengawal harga itu sudah diterangkan dan dibincang sepenuhnya kepada Perdana Menteri serta Jemaah Menteri .

“Dasar-dasar penting negara sewajarnya dibawa untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri selaras dengan Arahan Setiausaha Jemaah Menter i2021.

“Justeru, adakah dasar tidak mengawal tambang e-hailing ini turut mendapat persetujuan penuh Jemaah Menteri , walaupun implikasinya memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat?

“Pemandu terpaksa bekerja dalam tempoh yang panjang tanpa rehat mencukupi, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan dan kenaikan premium insurans,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top