Tiada impak pada portfolio pelaburan

Tiada impak pada portfolio pelaburan

KEMUDAHAN Akaun Fleksibel yang diperkenalkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak akan memberi impak kepada portfolio pelaburan KWSP.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa kemudahan akaun baharu itu tidak akan memberi impak terhadap portfolio pelaburan dana persaraan berkenaan.

Katanya, bagi tujuan perbandingan, jumlah pengeluaran ketika pandemik sebelum ini mencecah RM145 bilion.

“Senario semasa (bagaimanapun) adalah berbeza dengan ketika pandemik dan portfolio kami juga kini jauh lebih besar,” katanya pada sesi penerangan bersama pengarang media, baru-baru ini.

Melangkah ke hadapan, menurutnya, pengeluaran daripada Akaun Fleksibel dianggarkan berjumlah RM4 bilion hingga RM5 bilion setahun.

Katanya, dividen kekal sama bagi ketiga-tiga akaun berkenaan, namun akan berubah di masa-masa akan datang sebagai aset cair yang tidak mengundang kadar faedah atau dividen lebih tinggi.

Semalam, KWSP mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei ini dengan memperkenalkan Akaun Fleksibel bagi keperluan kewangan jangka pendek.

KWSP dalam kenyataan memaklumkan inisiatif itu bagi tujuan menambah baik keselamatan pendapatan persaraan di samping memenuhi keperluan kitaran hidup ahli apabila bermula tarikh tersebut semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula daripada dua akaun sebelum ini iaitu Akaun 1 dan Akaun 2 kepada tiga akaun.

Ia membabitkan Akaun Persaraan bagi mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan, Akaun Sejahtera untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan dan Akaun Fleksibel.

Akaun Fleksibel adalah akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti dengan simpanan dalam akaun itu boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli dan minimum pengeluaran sebanyak RM50.

Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.

Semua caruman selepas 11 Mei 2024 akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan iaitu 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan, 15 peratus ke dalam Akaun Sejahtera dan 10 peratus ke dalam Akaun Fleksibel.

© New Straits Times Press (M) Bhd