Tiada individu bergelar Datuk dilantik urus permit kerja tahanan JIM

Tiada individu bergelar Datuk dilantik urus permit kerja tahanan JIM

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjalankan siasatan berhubung dakwaan individu bergelar datuk yang konon boleh menguruskan permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi melepaskan tahanan di Depot Imigresen.

Tindakan itu susulan tular rakaman video pertemuan suami isteri dengan pemilik akaun media sosial mengenai dakwaan permit kerja dikeluarkan kepada individu berada dalam tahanan.

Berdasarkan kandungan video itu, pasangan terbabit memaklumkan membuat bayaran sebanyak RM5,000 untuk permohonan PLKS bagi melepaskan adiknya yang ditahan di Depot Imigresen melalui seorang individu bergelar datuk.

Selepas bayaran dibuat dan imbasan kod QR pada permit kerja wujud dalam sistem, adiknya dikatakan masih belum dibebaskan dan janji boleh dilepaskan di mahkamah juga tidak berlaku.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan siasatan dijalankan mendapati ePASS dikeluarkan kepada pasangan berkenaan disyaki palsu.

Katanya, semakan mendapati kod QR diubahsuai dan semakan silang menerusi sistem MyIMMs menggunakan nombor pasport juga menunjukkan tiada sebarang rekod PLKS.

“Semua urusan imigresen hanya boleh dilakukan melalui saluran rasmi sama ada di kaunter jabatan atau secara dalam talian di portal rasmi.

“Tiada pegawai atau pihak ketiga dibenarkan menguruskan permohonan di luar prosedur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau menjadi mangsa penipuan untuk segera membuat laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Zakaria berkata, JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba mencemarkan nama baik jabatan atau memperdaya orang awam.

Tambahnya, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca penyalahgunaan maklumat dan memastikan tindakan undang-undang diambil.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top