Tiada istilah rehat buat Aaron-Wooi Yik

Tiada istilah rehat buat Aaron-Wooi Yik

TIADA istilah bulan madu buat juara Terbuka Thailand 2025, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila kembali ke gelanggang selepas tujuh jam mendarat di tanah air menjelang Masters Malaysia bermula Selasa.

Beregu lelaki negara itu tiba di Kuala Lumpur tengah malam Ahad dan terus ke Bukit Jalil pada jam 7.30 pagi Isnin untuk mencuba gelanggang di Axiata Arena.

“Kami sampai kira-kira jam 12 tengah malam. Tidur pun tak cukup, tetapi kami rancang awal untuk turun gelanggang hari ini (Isnin).

“Kalau tunggu esok (Selasa), mungkin badan akan lebih letih,” ujar Aaron ketika ditemui media selepas sesi latihan pada Isnin.

Pasangan nombor lima dunia itu meraih gelaran kedua pada musim ini selepas mengungguli Terbuka Thailand setelah mengalahkan William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer dari Denmark 20-22, 21-17, 21-12 di pentas akhir pada Ahad.

Di sebalik kejayaan tersebut, Aaron-Wooi Yik menjadi sandaran peminat di laman sendiri untuk menghadiahkan kejuaraan buat mereka.

Sebagai rekod, kali terakhir beregu lelaki negara muncul juara di laman sendiri dalam saingan Jelajah Dunia adalah menerusi Goh V Shem-Lim Khim Wah yang menjuarai Terbuka Malaysia pada 2014.

Dalam saingan kali ini, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu akan membuka tirai kempen menentang Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin dari Taiwan pada pusingan pertama.

Aaron enggan memandang mudah saingan tersebut dan tekad memberikan aksi terbaik.

“Kami mahu fokus kepada prestasi sendiri dan nikmati setiap perlawanan. Tekanan itu perkara biasa, tapi kami mahu buat yang terbaik di depan penyokong sendiri,” katanya.

Mereka sebelum ini menjuarai Kejohanan Badminton Asia 2025 di Ningbo dan terbaharu, Terbuka Thailand – menjadikan mereka antara calon pilihan untuk menamatkan penantian 11 tahun kejuaraan di laman sendiri.

Dalam pada itu, Wooi Yik berkata, kehadiran ke venue pertandingan amat penting buat mereka untuk menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang sebelum kejohanan bermula.

“Sesi ujian gelanggang ini rasa baik dan harap kami dapat beri aksi yang hebat pada hari Rabu,” katanya.

Selain Aaron-Wooi Yik, lapan lagi beregu lelaki negara bakal bersaing pada kejohanan berstatus Super 500 itu termasuk gandingan nombor dua dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (ketujuh dunia).

Scroll to Top