am@hmetro.com.my
Foto: Raihana Mansor
Kuala Lumpur: Pelakon Yuna Rahim mengakui tidak mempercayai jalan singkat dengan mengambil suntikan atau ubat kurus popular dikenali sebagai Ozempic untuk menurunkan berat badan.
Yuna atau nama sebenar, Shafiqah Husna Abdul Rahim, 30, berkata dia lebih sanggup berlapar dengan mengamalkan diet sekali sehari makan (OMAD) untuk mendapatkan berat badan idaman.
“Secara jujurnya, bila saya tengok wajah saya yang berisi dalam drama Lambaian Huda, saya tak puas hati dengan penampilan diri ketika itu.
“Jadi, saya buat diet makan sekali sehari selama sebulan setengah, tapi saya anggap diet itu tidak sihat sangat untuk orang ikut.
“Alhamdulillah, dari berat badan lebih 55 kilogram, saya berjaya turun berat badan kepada 49 dan 50 kilogram sekarang. Saya rasa berat badan sudah okay dan tak nak turun lagi kerana bimbang dapat anoreksia pula,” katanya ketika ditemui pada tayangan ‘watch party’ drama Rumah Tanpa Luka yang berlangsung di Putrajaya, baru-baru ini.
Berkongsi diet diamalkan pula, kata Yuna, dia hanya mengambil sajian berat sekali sahaja sehari pada jam 4 petang.
“Saya hanya minum kopi pada waktu pagi dan tidak makan sampai jam 4 atau 5 petang.
“Saya juga ambil sajian berat seperti nasi pada sebelah petang dan tidak mengambil makan malam dan hanya minum air kosong sahaja.
“Selain itu, saya juga ada mengambil ‘meal supplement’ (makanan tambahan) dan jus segar untuk kecantikan yang dijual rakan artis,” katanya.
Ditanya wajahnya yang kini tampil berseri, kata Yuna, dia mengakui sudah kembali mendapat keyakinan diri semula.
“Sebenarnya, saya hilang diri dan tidak jumpa diri saya yang dulu ketika berlakon dalam drama Lambaian Huda ketika itu.
“Maklumlah, tubuh asal saya kurus dan bila nampak ‘chubby’ (berisi), saya berasa diri sudah hilang dan berada pada titik terendah dalam hidup.
“Apa pun, saya bersyukur kerana sudah dapat berat badan ideal dan diri saya yang dulu sekarang,” katanya.
Terdahulu, Yuna mendedahkan dia mengalami ‘anxiety’ (gangguan keresahan) dan ‘overthinking’ (berfikir secara berlebihan) apabila kembali semula ke set drama Lambaian Huda selepas dua tahun berehat daripada penggambaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd



