'Tiada jet peribadi, guna wang simpanan sendiri' – Nurul Izzah

'Tiada jet peribadi, guna wang simpanan sendiri' – Nurul Izzah

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Tiada jet peribadi seperti yang difitnah. Perjalanan dilakukan sama seperti jutaan jemaah haji yang lain,” kata Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Anak sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memberi respon itu dalam kenyataan di Facebook (FB), hari ini sekali gus menafikan dakwaan beliau dan suami, Yin Shao Loong berlepas ke Tanah Suci dengan menaiki jet peribadi serta pakej haji mewah.

Nurul Izzah berkata, banyak hantaran dan mesej berkaitan fitnah dikirim kepadanya dan ia perlu diperbetulkan apabila sesuatu yang tidak benar tersebar begitu jauh dari hakikat sebenar.

Menurutnya, dia dan suami berpeluang menunaikan ibadah haji sebagai tetamu Allah SWT, melalui visa mujamalah dan menggunakan penerbangan komersial.

“Urusan logistik, termasuk tempat tinggal dan pengangkutan, diatur oleh agensi pelancongan berlesen, Mimm Travel. Menaiki penerbangan komersial dan menggunakan wang simpanan sendiri.

“Tiada jet peribadi seperti yang di fitnah. Perjalanan dilakukan sama seperti jutaan jemaah haji yang lain,” katanya, hari ini.

Beliau turut berkongsi pengalaman menghadiri sesi ilmu bersama Sheikh Dr Omar Suleiman, Dr Tahir Wyatt serta Ustaz Dr Mohd Amirul Hassan Ahmaf Tajuddin ketika di Madinah dan menyifatkan ia suatu pengalaman yang sangat menyentuh hati.

“Paling bermakna dapat melaksanakan ibadah haji bersama suami khususnya di Arafah, tempat di mana Allah SWT menurunkan ayat ke-3, Surah al-Maidah yang memberitahu bahawa Allah SWT sudah menyempurnakan agama kita,” katanya.

Nurul Izzah berkata, dalam perbezaan pandangan dan bertarung dalam medan politik di dunia, tidak seharusnya ibadah dijadikan sebagai bahan tohmahan dan fitnah.

“Biarlah kita saling mendoakan, semoga Allah SWT mengurniakan rezeki dan peluang kepada lebih ramai umat Islam untuk menjadi tetamu-Nya dalam keadaan yang dimudahkan, diterima amal, dan dijauhkan daripada fitnah manusia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top