bhnews@bh.com.my
Kuala Lumpur: Tiada keperluan untuk merombak Kementerian Ekonomi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai ura-ura kementerian itu akan ditutup selepas Datuk Seri Rafizi Ramli nekad melepaskan jawatan anggota Kabinet.
“Saya fikir tidak ada keperluan untuk kita rombak apa-apa setakat ini dan saya ucap selamat maju jaya kepada Rafizi yang telah berkhidmat begitu baik sebagai Menteri Ekonomi.
“Saya akan putuskan pada waktunya mana-mana menteri atau kementerian menjalankan tugas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Persidangan Energy Asia 2025 di sini, hari ini.
Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas merangkap Pengerusi Energy Asia, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik dan Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Haitham Al Ghais.
Anwar menjelaskan, Kementerian Ekonomi dulunya Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), dan kemudian dalam beberapa tahun ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang pertama, dibentuk satu kementerian.
Beliau berkata, EPU adalah agensi yang berkesan di bawah Jabatan Perdana Menteri, dan kemudian sebuah kementerian ditubuhkan yang sebenarnya menguruskan fungsi EPU.
“Buat masa ini, tiada isu, tiada masalah. Jadi, mari kita teruskan,” katanya.
BH semalam melaporkan bahawa dikatakan ada ura-ura untuk ‘menutup’ Kementerian Ekonomi selepas Datuk Seri Rafizi Ramli nekad melepaskan jawatan anggota Kabinet.
Difahamkan, terdapat perbincangan memansuhkan kementerian itu dengan mewujudkan semula EPU di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai satu agensi Pusat.
Menurut sumber, kerajaan seakan tidak ‘ambil pusing’ dengan peletakan jawatan Rafizi susulan tewas pemilihan pusat PKR tempoh hari.
Jadi, sebagai ‘opsyen’ untuk menggantikan fungsi dan peranan Ahli Parlimen Pandan itu dalam hal ehwal ekonomi, sumber memberitahu antara cadangannya adalah melantik Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri.
Mengenai status perletakan jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad, Anwar berkata, beliau telah memberi ruang kepada Nik Nazmi untuk befikir dan renungkan mengenai keputusan untuk melepaskan jawatan itu.
Perdana Menteri juga telah memberikan pandangannya bahawa adalah lebih baik terus berkhidmat.
Mengenai Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Anwar berkata, ia membabitkan kerja Jemaah Menteri keseluruhannya.
Beliau berkata, memandangkan banyak perubahan yang berlaku dalam ekonomi global seperti tarif, justeru banyak angka unjuran yang perlu dirombak.
Persidangan Energy Asia 2025 dari 16 hingga 18 Jun 2025 dengan tema ‘Delivering Asia’s Energy’ menghimpunkan lebih 180 penceramah berprofil tinggi dari seluruh dunia, di samping menarik kehadiran lebih 4,000 delegasi termasuk pembuat dasar, pemain industri dan profesional tenaga.
Ia menjadi pentas perbincangan strategik yang menghimpunkan pelbagai pandangan dan pendekatan berkaitan peralihan tenaga yang adil di Asia, di tengah-tengah landskap geopolitik dan ekonomi global yang semakin mencabar.
© New Straits Times Press (M) Bhd