NEW DELHI: Penerima vaksin yang mendapat jenis suntikan pelalian dos kedua yang berbeza dengan dos pertama tidak dijangka mengalami sebarang kesan sampingan ketara.
Kontroversi berhubung perkara itu tercetus selepas sekumpulan penduduk Uttar Pradesh mendakwa mereka diberikan Covaxin ketika suntikan dos kedua, berbanding Covishield pada dos pertama.
Pengerusi Kumpulan Pakar Kebangsaan mengenai Pemberian Vaksin COVID-19, VK Paul, berkata protokol kesihatan menggariskan bahawa penerima sepatutnya mendapat suntikan pelalian yang sama jenis bagi kedua-dua dos.
“Perkara ini perlu disiasat, namun setakat ini ia tidak menjadi sesuatu yang menimbulkan kebimbangan kerana tiada kesan negatif dilaporkan.
“Walaupun dos kedua berlainan jenis, kebarangkalian untuk penerima mengalami kesan sampingan yang ketara adalah sangat rendah.
“Malah, naratif saintifik menunjukkan perbezaan pemberian vaksin dalam dua dos suntikan berupaya meningkatkan kekebalan,” katanya.
Kesimpulan itu turut disokong laporan Lancet dua minggu lalu, di mana agensi berkenaan menerbitkan dapatan terhadap kajian campuran jenis vaksin kepada penerima.
Penerima yang diberikan suntikan vaksin AstraZeneca atau Covishield ketika dos pertama dan Pfizer bagi dos kedua mengalami kesan sampingan jangka pendek dan gejala sederhana, kata penyelidik Oxford University.
Kajian itu bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang perincian mengenai kesan campuran jenis vaksin terhadap pembentukan sistem pertahanan badan atau kekebalan. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




