safeek@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, mengesahkan tiada pergerakan luar biasa dikesan di lebuh raya utama seluruh negara pada sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
Berdasarkan statistik Operasi Rentas (Op Rentas) sepanjang tujuh hari direkodkan JSPT sejak 10 Mei sehingga kelmarin, jumlah kenderaan di lebuh raya berkurangan berbanding Operasi Lancar dijalankan pada Aidilfitri tahun lalu.
Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, jumlah kenderaan direkodkan pada 13 Mei lalu kurang sebanyak 1,100,568 berbanding tahun lalu yang mencatatkan sebanyak 2,035,801 kenderaan.
“Ini dapat disimpulkan rakyat mematuhi PKP kali ini dengan tidak merentas daerah dan rentas negeri.
“Terdapat peningkatan kenderaan pada 15 Mei (Sabtu) lalu iaitu sebanyak 462,373 buah kenderaan yang menggunakan lebuhraya,” katanya kepada BH, hari ini.
Mohd Nadzri berkata, jumlah kenderaan mencatatkan penurunan kepada 235,275 buah kenderaan pada 16 Mei lalu.
“Berdasarkan pemeriksaan di setiap sekatan jalan raya, pergerakan merentas negeri dan daerah mempunyai kelulusan atas urusan pasangan jarak jauh (PJJ), sektor perkhidmatan penting dan kecemasan.
“Hasil pemeriksaan mendapati mereka mempunyai surat kebenaran untuk melakukan pergerakan rentas negeri dan daerah,” katanya.
Mengulas mengenai jumlah kenderaan yang banyak melalui Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, Mohd Nadzri berkata, ia disebabkan proses pemeriksaan polis di Plaza Tol Gombak.
Secara keseluruhan, sebanyak 102 saman ingkar SOP PKP dikeluarkan oleh JSPT di seluruh negara sejak 3 Mei hingga 16 Mei dalam Op Rentas di seluruh negara dan 61 tangkapan dibuat di atas pelbagai kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd