Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memberi jaminan bahawa tindakan undang-undang tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam insiden amang seksual membabitkan guru dan pelajar di sekolah agama.

Memetik laporan MalaysiaGazette, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi memastikan kes berkenaan ditangani mengikut peruntukan undang-undang.
“Saya yakin Jabatan Agama Islam Selangor akan mengambil tindakan yang wajar selaras dengan undang-undang sedia ada jika perkara ini berkaitan, termasuk melihat semula status pendaftaran sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohammad Fahmi berkata, pentadbiran negeri turut melahirkan rasa kesal terhadap kejadian amang seksual songsang, khususnya apabila ia berlaku dalam persekitaran sekolah agama.
Katanya, perkara itu lebih mendukacitakan kerana institusi berkenaan sepatutnya menjadi ruang yang selamat untuk pelajar membesar dan berkembang dari aspek fizikal, akal serta emosi.
Menurut beliau, JAIS sebelum ini sudah melaksanakan beberapa langkah pencegahan bagi membendung kemungkinan berlakunya perlakuan tidak bermoral antara guru dan pelajar, sesama guru serta dalam kalangan pelajar sendiri.
Susulan itu, beliau menggesa pihak pengurusan setiap sekolah supaya tidak mengambil mudah sebarang isu berkaitan keselamatan dan kebajikan pelajar, selain memastikan langkah pencegahan dilaksanakan dengan tegas bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Pihak sekolah perlu tegas dan melaksanakan polisi tidak kompromi dan dasar ‘You do this, you go’,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Mohammad Fahmi berkata, JAIS sentiasa bersedia menerima aduan daripada pelajar atau mana-mana pihak sekiranya terdapat unsur, potensi atau tanda awal yang berkemungkinan menjurus kepada gangguan atau amang seksual di sekolah mahupun asrama.
Artikel lain: Hari Guru: Larangan hanya libat sekolah JAIS, KAFA swasta masih dibenarkan
Beliau berkata, sebarang aduan yang mempunyai asas akan diberi perhatian sewajarnya dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang didapati bersalah.
“Sekolah harus menjadi tempat selamat kepada anak-anak kita,” tambahnya lagi.
Sumber: MalaysiaGazette (Shawaliah Hadir)

