
Pemandangan udara menunjukkan pertemuan aliran air jernih dan keruh di kawasan berhampiran tapak perlombongan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesan aktiviti perlombongan ke atas kualiti air.
IPOH – Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak tidak berkompromi terhadap ketidakpatuhan aktiviti perlombongan di Hulu Perak apabila tiga syarikat pernah dikenakan penggantungan operasi sejak tahun lalu.
Pengarah JMG Perak, Nizarulikram Abdul Rahim berkata, aktiviti perlombongan tertakluk kepada syarat ketat termasuk berkaitan pengurusan air sisa dan pelepasan efluen.
Tegasnya, walaupun data semasa menunjukkan tahap kualiti air di sungai Perak kekal berada dalam Kelas II, tetapi penguatkuasaan terhadap operasi perlombongan tetap dilakukan secara konsisten.
Menurutnya, air daripada aktiviti perlombongan perlu diuruskan dalam sistem terkawal dan tidak boleh dilepaskan ke sungai tanpa melalui rawatan serta memenuhi parameter ditetapkan.
“Pelombong pada asasnya tidak boleh melepaskan air sesuka hati. Air itu perlu digunakan semula dan jika atas sebab tertentu hendak dilepaskan, ia mesti dirawat terlebih dahulu mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Pihak lombong tidak boleh melepaskan air jika tidak memenuhi syarat,” katanya ketika taklimat kepada media baru-baru ini.
Rekod JMG menunjukkan Rahman Hydraulic Tin Sdn Bhd (RHT), MCRE Resources dan Nalidah Tin Mine pernah dikenakan penggantungan operasi selama tiga minggu pada November 2025 berserta syarat mitigasi kawalan pencemaran.

NIZARULIKRAM
Bagi MCRE Resources, penggantungan itu dilanjutkan pada Disember susulan ketidakpatuhan syarat Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan Perintah Berhenti Kerja (PBK) Jabatan Alam Sekitar (JAS), sebelum operasi dibenarkan semula pada Januari lalu selepas PBK ditarik balik.
RHT digantung lagi
Terbaharu, JMG mengarahkan operasi RHT digantung sementara pada 12 Ogos lalu selepas pelepasan air berasid dengan bacaan pH antara 2.29 hingga 2.33 dikesan dari Detention Pond 4 dan 5.
Tindakan itu dibuat susulan pemeriksaan selepas hujan lebat pada 3 Ogos lalu apabila kira-kira 60 milimeter hujan direkodkan dalam tempoh sejam, melebihi intensiti maksimum reka bentuk 50 milimeter bagi sistem saliran dan kolam tadahan sedia ada RHT.
“Apabila JMG membuat lawatan ke sana, didapati ada pelepasan air ke dalam sungai yang tidak dirawat. Jadi kami hentikan sementara operasi mereka sehingga mereka membentangkan cadangan mitigasi.
“Apabila kami berpuas hati, barulah akan dipertimbangkan semula,” kata Nizarulikram.
JMG sebelum itu turut mengeluarkan beberapa arahan kepada RHT berkaitan pengurusan air larian, kawalan hakisan, penyelenggaraan kolam hampas serta penambahan parameter pepejal terampai (TSS) dan konduktiviti dalam laporan harian.
Dalam pada itu, kaedah lime dosing secara terus di sungai turut diarahkan dilakukan di luar sungai supaya air dapat dirawat terlebih dahulu sebelum dilepaskan sekiranya diperlukan.
Nizarulikram bagaimanapun menegaskan, tindakan terhadap RHT dibuat atas ketidakpatuhan yang dikesan dan tidak dengan sendirinya membuktikan operasi berkenaan menjadi punca fenomena air Sungai Perak bertukar kebiruan.
Menurutnya, punca fenomena itu perlu ditentukan berdasarkan keseluruhan bukti termasuk lokasi dan masa kejadian, corak aliran, persampelan serta analisis kualiti air.
Audit menyeluruh, pemantauan masa nyata perkukuh kawal selia lombong

Pegawai JMG membuat pemeriksaan dan mengambil sampel air berhampiran salah satu kawasan perlombongan di daerah Hulu Perak
IPOH – Pemantauan terhadap aktiviti perlombongan di Hulu Perak perlu diperkukuhkan melalui audit menyeluruh dan penggunaan sistem pemantauan masa nyata bagi membolehkan sebarang perubahan kualiti air atau ketidakpatuhan dikesan lebih awal.
Ketua Pegawai Eksekutif Pakar Scieno TW Sdn Bhd, Dr Abdul Rani Abdullah mencadangkan audit menyeluruh dilaksanakan terhadap premis terbabit bagi mengenal pasti kelemahan sistem pengurusan air dan pelepasan.
Menurutnya, audit itu perlu membabitkan analisis jurang bagi menentukan sama ada sistem pengurusan yang sepatutnya diwujudkan benar-benar dilaksanakan dan berfungsi sebagaimana ditetapkan.
“Jelas bahawa kedua-dua tapak mempunyai pelepasan. Persoalannya bagaimana kita boleh pastikan pelepasan itu dikawal dan kualitinya boleh diterima oleh sungai.
“Jadi yang pertama ialah audit secara komprehensif dengan terma rujukan yang jelas untuk mengenal pasti apa yang sepatutnya berlaku tetapi tidak berlaku,” katanya ketika taklimat kepada media baru-baru ini.
Selain tindakan terhadap ketidakpatuhan, pemantauan turut diperkukuhkan melalui sistem telemetri secara masa nyata.
Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Nizarulikram Abdul Rahim berkata, sistem itu dijangka disiapkan menjelang hujung tahun bagi membolehkan perubahan kualiti air dikesan dengan lebih cepat dan maklumat disalurkan kepada agensi berkaitan.
Menurutnya, JMG turut menjalankan pemantauan di kawasan perlombongan secara berkala termasuk menggunakan dron bagi memeriksa keadaan di tapak.
“JMG sangat memantau. Sekarang ini lebih ketat lagi. Kita juga menggunakan dron untuk melihat keadaan kawasan dari udara,” katanya.
Ketidakpatuhan tetap diambil tindakan
Dalam perkembangan sama, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak turut mengesan ketidakpatuhan beberapa parameter efluen di premis perlombongan tertentu.
Ketidakpatuhan itu melibatkan beberapa parameter yang ditetapkan dalam syarat pelepasan dan setiap bacaan perlu dinilai berdasarkan lokasi pensampelan serta had yang ditetapkan kepada premis berkenaan.
Bagi MCRE Resources Sdn Bhd, JAS mendapati terdapat pelanggaran beberapa syarat kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA), termasuk kegagalan menyediakan sistem pengolahan efluen seperti ditetapkan.
Perintah larangan operasi turut dikenakan bagi membolehkan kerja penambahbaikan dilaksanakan.
Tindakan terhadap premis yang didapati tidak mematuhi syarat menunjukkan kewujudan aktiviti perlombongan di Hulu Perak bukan bermaksud pengusaha boleh melepaskan air tanpa kawalan.
Sebaliknya, setiap pelepasan tertakluk kepada syarat dan pemantauan manakala kegagalan mematuhi peraturan boleh membawa kepada tindakan penguatkuasaan.
Pada masa sama, kewujudan sesuatu ketidakpatuhan perlu dibezakan daripada penentuan punca fenomena air biru kerana hubungan sebab dan akibat perlu dibuktikan melalui analisis saintifik dan data daripada kejadian berkenaan.
Pendekatan pemantauan selepas ini turut bergerak ke arah pengesanan lebih awal dengan penggunaan sistem masa nyata bagi membolehkan perubahan kualiti air dikenal pasti dan tindakan susulan diambil dengan lebih cepat.
Audit menyeluruh, pemantauan berkala, penggunaan dron dan sistem telemetri menjadi antara mekanisme penting bagi memastikan aktiviti perlombongan terus mematuhi syarat yang ditetapkan.
