Tiada Kompromi, MINDEF Tekad Tegakkan Keadilan, Kematian Prebet Kini Kes Bunuh

Tiada Kompromi, MINDEF Tekad Tegakkan Keadilan, Kematian Prebet Kini Kes Bunuh

Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan pihaknya akan memastikan keadilan dapat ditegakkan sepenuhnya dalam kes kematian seorang anggota tentera, Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata MINDEF tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk keganasan, salah laku atau pelanggaran disiplin dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Katanya, insiden itu tidak mencerminkan nilai integriti serta profesionalisme ATM dan beliau mengarahkan disiplin dan integriti pasukan diperkukuhkan melalui tindakan tegas.

“Kementerian Pertahanan memandang serius insiden ini. Sebarang bentuk keganasan, salah laku atau pelanggaran disiplin tidak mencerminkan nilai, integriti serta profesionalisme yang dijunjung oleh ATM.

“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat. Kes ini kini dalam proses perundangan dan akan ditentukan sepenuhnya oleh mahkamah mengikut lunas undang-undang.

“Kementerian akan memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya, serta mengarahkan ATM memperkukuh disiplin dan integriti pasukan melalui tindakan tegas, agar kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya dalam kenyataan.

Media hari ini melaporkan mangsa, Muhammad Amirul Raziq, 24, disahkan meninggal dunia pada jam 9.34 pagi ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Temerloh.

Sebelum ini, beliau dilaporkan parah dipercayai dipukul oleh seorang suspek berpangkat koperal, disyaki berpunca daripada ketidakpuasan hati berhubung kerja pembersihan stor senjata pada 31 Mac.

Siasatan awal turut mendapati terdapat enam lagi mangsa berusia antara 19 hingga 22 tahun berada bersama dalam kejadian tersebut.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata beliau amat berdukacita dengan pemergian Muhammad Amirul Raziq dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang amat sukar ini.

“Sama-sama kita doakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Dalam pada itu, Berita Harian melaporkan Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata kes berkenaan kini diklasifikasikan sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas kematian mangsa disahkan.

“Setelah mangsa disahkan meninggal dunia jam 9.34 pagi hari ini, proses siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan telah dilakukan dengan mengklasifikasikan semula kertas siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan sebelum ini.

“Permohonan untuk melakukan bedah siasat telah dilakukan serta pihak polis akan meneliti semula keterangan yang telah diambil sebelum ini… jika perlu, sambungan rakaman percakapan saksi akan dilakukan,” katanya.


Scroll to Top