Tiada Krismas di tempat kelahiran Jesus di Bethlehem, Palestin

Tiada Krismas di tempat kelahiran Jesus di Bethlehem, Palestin

JERUSELAM – Buat pertama kali tidak ada sebarang hiasan dipasang di tempat kelahiran Jesus di Bethlehem bagi menandakan kehadiran perayaan Krismas yang disambut oleh penganut Kristian.

Tanah Suci bagi umat Kristian itu sunyi daripada perayaan yang disambut pada 25 Disember daripada kehadiran jemaah dari luar.

Menurut media Israel i24News, perbandaran Bethlehem telah membuat keputusan untuk tidak mendirikan pokok Krismas ikonik yang menjadi simbolik sambutan perayaan berkenaan.

Sebagai ganti pokok Krismas dan tanda solidariti dengan kekejaman yang dihadapi penduduk Gaza yang turut mempunyai penganut Kristian, pihak berkuasa tempatan telah meletakkan ‘adegan kelahiran Jesus’ secara simbolik dengan penindasan yang dihadapi.

Dibuat daripada batu dan kawat berduri, pemasangan ini berfungsi sebagai tanda protes yang kuat terhadap pengeboman di kawasan Palestin.

Adegan itu berbeza sekali dengan suasana perayaan yang biasa, merangkumi pengakuan muram tentang realiti di lapangan.

Semua elemen “yang tidak perlu perayaan”, termasuk hiasan, perarakan dan upacara keagamaan, telah dibatalkan di Bethlehem.

Menurut media tersebut, Bethlehem, yang biasanya sibuk dengan ratusan ribu pelancong semasa musim cuti, kini mengalami penurunan mendadak dalam pelawat disebabkan konflik yang berterusan.

Selain masjid, Israel turut dilaporkan mengebom tiga gereja di Gaza.

Ini termasuk rumah ibadat tertua bagi penganut agama itu, Greek Orthodox Saint Porphyrius Church yang berusia lebih 1,600 tahun.

Dalam serangan pada 20 Oktober lalu berpuluh maut termasuk pelarian yang berlindung di kawasan gereja.

Selain itu penembak tepat Israel turut dilaporkan menembak mati seorang wanita tua Kristian dan anak perempuannya yang berlindung di Gereja Holy Family Parish, Gaza.

Terdapat kira-kira 530 penganut Kristian berlindung di Gereja Holy Family dengan 60 peratus daripadanya adalah wanita dan kanak-kanak. – Agensi