am@hmetro.com.my
Kuantan: Ketika umat Islam teruja untuk menyambut kehadiran lebaran tidak lama lagi, pasangan warga emas terpaksa meraikannya dalam keadaan hiba apabila kediaman mereka di Kampung Baru Gebeng, di sini, musnah dalam kebakaran, semalam.
Kejadian 5.30 pagi itu menyebabkan Mat Husin A Rahman, 67, dan Nekmah Awang Ngah, 71, tinggal sehelai sepinggang.
Mat Husin berkata, dia sebak apabila terkenang enam anak dan 13 cucu yang sebelum ini teruja untuk pulang beraya di rumah berkenaan namun kini kegembiraan itu terbantut.
Katanya, rumah itu tempat mereka sekeluarga berkumpul meraikan 1 Syawal setiap tahun dan segala persiapan raya seperti memasang langsir baru akan dibuat anak-anaknya.
Namun tahun ini katanya, kemeriahan itu tidak lagi dapat dirasai apabila rumah yang didiami sejak 20 tahun lalu itu musnah sepenuhnya.
Mat Husin berkata, ketika kejadian dia dan isteri tiada di rumah.
“Saya pun tidak pasti bagaimana kejadian itu berlaku namun saya dimaklumkan kejadian disedari oleh orang ramai yang melalui jalan di depan rumah ketika mereka keluar bekerja pada awal pagi kejadian.
“Saya bercadang akan pulang pada hari Jumaat namun selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh anak yang tinggal di taman perumahan berhampiran, saya terus bergegas pulang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Katanya, dia belum membuat sebarang persiapan raya kerana menunggu kepulangan anak mereka dan setakat ini tidak memikirkan lagi mengenai sambutan hari raya nanti.
“Rumah ini banyak kenangan apatah lagi sebahagian besar strukturnya saya bina sendiri selain bertungkus lumus dengan isteri memindahkan struktur asas dari tapak asal selepas tanah saya termasuk dalam projek pembinaan jalan satu ketika dulu,” ujarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




