Tiada latihan formal dalam bidang seni, wanita hasilkan karya guna 60 kilogram coklat

Tiada latihan formal dalam bidang seni, wanita hasilkan karya guna 60 kilogram coklat

Beijing: Seorang wanita di China yang tidak mempunyai latihan formal dalam bidang seni menggunakan 60 kilogram coklat untuk menghasilkan salinan mini 3D lukisan terkenal, ‘Along the River During the Qingming Festival’, lapor South China Morning Post.

Sebuah video yang memaparkan versi coklat kota purba Bianjing yang dihasilkan oleh blogger berkenaan yang menggunakan nama samaran, Fan Sumu pada akhir Mei itu meraih kira-kira satu juta tanda suka, menurut laporan Jimu News.

Karya agung asal itu dilukis oleh Zhang Zeduan pada zaman Dinasti Song Utara (960-1127) dan ia antara hasil seni paling terkenal dalam sejarah China.

Lukisan skrol tangan berukuran 25.5 sentimeter (CM) dan panjang 5.2 meter terkenal dengan gambaran terperinci kehidupan harian masyarakat serta landskap di sepanjang Sungai Bian di Bianjing yang menjadi ibu kota pada ketika itu.

Selain coklat, Fan turut menggunakan fondan dan kertas beras untuk meniru semula lukisan berkenaan bagi memastikan keaslian perinciannya.

Dia sebenarnya sudah menghasilkan model coklat kecil berdasarkan sebahagian lukisan itu pada tahun lalu sebelum meluangkan masa selama tiga bulan untuk menyiapkan versi penuh pada tahun ini.

Hasil karyanya berukuran 1.22 meter lebar dan tujuh meter panjang yang mengandungi 176 rumah, 281 pokok, lebih 20 bot dan 816 figura manusia, menurut laporan itu.

“Setiap rumah mempunyai ketinggian kira-kira 10 hingga 20 cm manakala figura manusia hanya setinggi dua cm. Tingkap yang paling kecil pula berukuran kurang daripada satu cm lebar,” kata Fan.

“Rantai seperti yang digunakan oleh petani untuk menarik kereta sorong dibuat senipis rambut. Saya memasukkan coklat cair ke dalam beg paip dan memicitnya keluar untuk membentuk rantai sebelum coklat itu mengeras,” katanya.

Fan memulakan projek coklat itu di ruang tamunya. Namun, dia mendapati ruang itu terlalu kecil sebelum menyewa sebuah rumah lebih besar yang terletak kira-kira 25 kilometer dari lokasi asal.

Semasa proses perpindahan ke rumah baharu itu, banyak hasil karyanya yang rosak dan pecah sekali gus memaksa Fan untuk memulakan semula projek itu dari awal.

Fan yang lahir selepas 1995 dan pernah mempelajari bidang perdagangan antarabangsa di kolej serta menjadi blogger makanan sebelum ini turut menghasilkan miniatur coklat bagi binaan terkenal seperti Dewan Agung Harmoni di Kota Larangan Beijing, Pagoda Yingxian di wilayah Shanxi, Menara Eiffel di Paris serta salinan lukisan ‘One Thousand Li of Rivers and Mountains’ dan ‘The Mona Lisa’ hasil kemahirannya yang dipelajari melalui video dalam talian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top