Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin masih kekal sebagai ketua pembangkang setakat hari ini.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan setakat ini tidak menerima sebarang pemakluman rasmi daripada blok pembangkang bagi sebarang perubahan jawatan itu.
“(Kedudukan ketua pembangkang) ‘status quo” (tidak berubah), kecuali kita terima hitam putih barulah kita akan umumkan.
“Saya masih menunggu (perkembangannya), melainkan jika saya sudah terima apa-apa (pemakluman daripada blok pembangkang),” katanya kepada selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Parlimen bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.
Beliau ditanya media sama ada sudah menerima sebarang pemakluman daripada Perikatan Nasional (PN) mengenai perubahan ketua pembangkang.
Turut hadir, pada majlis berbuka puasa itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Speaker Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Pada Ahad, Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, memaklumkan PAS akan mengambil alih jawatan sebagai ketua pembangkang Dewan Rakyat, yang mana nama Ahli Parlimen berkenaan akan dimaklumkan kemudian.
Beliau dilaporkan berkata, perkara berhubung jawatan ketua pembangkang baharu itu dipersetujui parti komponen PN dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN.
Isu ketua pembangkang berbangkit susulan krisis dalaman BERSATU yang menyaksikan Hamzah, yang juga bekas Timbalan Presiden BERSATU dipecat keahliannya dari parti itu.
Susulan itu, wujud desakan dalam BERSATU sendiri yang menuntut perubahan jawatan ketua pembangkang, namun mengikut amalan pemilihan biasa, jawatan itu perlu diputuskan secara konsesus oleh Ahli Parlimen blok pembangkang.
PAS ketika ini memiliki 43 Ahli Parlimen, diikuti 25 oleh BERSATU yang kini terpecah kepada dua kumpulan yang menyokong Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Hamzah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




