Tiada negara bakal terlepas kesan krisis tenaga

Tiada negara bakal terlepas kesan krisis tenaga

Sydney: Ekonomi dunia kini berdepan ancaman besar ekoran krisis tenaga yang dicetuskan oleh perang di Timur Tengah.

Ketua Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Fatih Birol, pada Isnin memberi amaran bahawa tiada mana-mana negara bakal terselamat daripada kesan buruk situasi ini.

Ketika berucap di Kelab Akhbar Kebangsaan di ibu negara Australia, Birol membandingkan krisis tenaga masa kini dengan pergolakan tahun 1970-an serta kesan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022.

“Krisis ini, mengikut keadaan semasa, menyamai gabungan dua krisis minyak dan satu keruntuhan pasaran gas yang berlaku serentak.

“Ekonomi global berdepan ancaman yang sangat serius hari ini, dan saya amat berharap kemelut ini dapat diselesaikan dengan segera,” tambah Birol.

Beliau turut menekankan bahawa sekiranya trend ini berterusan, setiap negara pasti terkesan, sekali gus memerlukan usaha kolektif pada peringkat global bagi menanganinya.

Presiden AS, Donald Trump dan Tehran saling berbalas ancaman selepas peperangan ini masuk minggu keempat.

Presiden Amerika Syarikat itu menuntut republik Islam berkenaan membuka semula laluan Selat Hormuz yang disekat, memandangkan hampir 20 peratus penghantaran minyak serta gas dunia melalui kawasan itu.

Sekatan di laluan sempit itu menyebabkan hampir semua penghantaran petroleum terhenti, sekali gus mencetuskan lonjakan mendadak harga minyak mentah dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top