'Tiada pekerja dari India dibawa masuk di kedai mamak'

'Tiada pekerja dari India dibawa masuk di kedai mamak'

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) memaklumkan tiada pekerja dari India yang dibawa masuk mahu pun kembali semula ke negara ini selepas bercuti.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan, berkata pihaknya mengambil maklum kegelisahan masyarakat berhubung lonjakan kes COVID-19 di India, namun tiada asas untuk mengaitkannya dengan pekerja warga India di restoran mamak di negara ini.

“Dalam tempoh dan keadaan sekarang ini, kami beri jaminan tiada pekerja dari India dibawa masuk untuk bekerja di restoran mamak atau pulang semula selepas bercuti.

“Kita juga buat saringan pekerja, ujian calitan, akur dengan keputusan dan langkah ditetapkan kerajaan, jadi memang tidak ada isu.

“Mungkin ada kegelisahan kalangan orang ramai bila melihat situasi di India, tapi tidak ada asas kalau nak kata varian di India boleh disebarkan pekerja di restoran mamak di sini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jawahar berkata, pihaknya sering mengingatkan ahli supaya memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi oleh pekerja dan pelanggan.

“Kita jaga SOP cukup ketat, malah dalam beberapa minggu kebelakangan ini pihak berkuasa kerap menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di restoran. Komitmen dan kerjasama ahli cukup baik setakat ini,” katanya.

Pihaknya bersyukur masih dibenarkan menjalankan perniagaan dalam keadaan pandemik seperti sekarang.

“Sekarang bukan masa untuk mengadu kurang pelanggan atau sebagainya, kita bersyukur boleh lagi menjalankan perniagaan cuma tidak macam dahulu sebelum COVID-19.

“Bila kerajaan benarkan pelanggan makan di kedai, kami melihatnya sebagai satu amanah dan tidak akan berkompromi kalau ada pelanggan tidak ikut SOP,” katanya.

Malaysia merekodkan kes pertama kemasukan varian mutasi berganda B.1.617.1 dari India menerusi seorang warga negara itu hasil saringan di Lapangan Terbang Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Varian B.1.617.1 mula ditemui di India pada 27 April lalu dan laporan Inisiatif Global mengenai Perkongsian Semua Data Influenza (GISAID) mendapati ia menular di sekurang-kurangnya 17 negara di seluruh dunia tiga hari kemudian.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan varian itu mempunyai kadar pertumbuhan virus COVID-19 yang lebih tinggi, sekali gus dikhuatiri menjadi punca utama peningkatan jangkitan secara mendadak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top