Tiada petunjuk baharu lokasi 'Daisy' karam, SAR dihentikan

Tiada petunjuk baharu lokasi 'Daisy' karam, SAR dihentikan

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kapal layar Daisy, milik warga Turkiye di perairan Pulau Bidong ditamatkan semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, seorang lagi mangsa yang hilang, Eser Demairokol, 53, dan bangkai kapal layar berkenaan masih belum ditemui.

Menurutnya, operasi dihentikan berikutan tiada penemuan baru berhubung kejadian itu selepas tujuh hari operasi dilakukan pihak berkuasa.

“Pasukan SAR juga gagal menemui kedudukan bangkai kapal layar yang dinaiki tiga warga Turkiye itu di kawasan yang didakwa ia karam,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kapal layar dinaiki tiga warga Turkiye karam di perairan Pulau Bidong pada 2.30 petang 30 Julai lalu selepas dilanda ribut.

Kepten kapal layar berkenaan, Ahmet Volkan Ata, 52, dan seorang penumpang, Ates Demiroren terselamat selepas ditemui terapung oleh nelayan tempatan.

Kapal layar berkenaan dalam pelayaran pulang ke Turkiye selepas melakukan siri jelajah mengelilingi benua dari Malaysia ke negara asal mereka.

Daisy sepatutnya berhenti di check point pertama iaitu di Pelabuhan Pattani, Thailand namun dibadai ribut dan dipercayai karam di perairan Pulau Yu.

Sebelum pada itu, Ahmed Volkan Ata selaku kapten membawa kapal layar Daisy dari Jackson Port Bay, Sydney di Australia dan berlabuh di Pelabuhan Kuantan sebagai lokasi berkumpul.

Dua lagi penumpang masing-masing dari Krabi, Thailand dan Singapura menaiki pengangkutan awam bertolak ke Pelabuhan Kuantan bagi memulakan siri jelajah mereka itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top