Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) tidak akan diadakan dalam masa terdekat, sebaliknya menggesa semua pihak memberi tumpuan kepada usaha menangani krisis tenaga global.
Beliau mohon semua pihak bersabar
Memetik laporan daripada Berita Harian, beliau menyatakan keadaan semasa menuntut kerjasama semua pihak dan bukannya pertelingkahan politik yang berpanjangan.
“Ini bukan isu politik. Ini bukan soal pertarungan politik, bermusuh satu sama lain…tidak akan ada pilihan raya dalam satu dua bulan ini, sabar sekejap.
“Esok masa pilihan raya bertempurlah, sekarang ni kerja. Cukup-cukuplah berpolitik, bangun, selamatkan negara kita,” kata beliau ketika merasmikan Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, semalam.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming serta Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut menjelaskan bahawa kerajaan mempunyai kaedah tersendiri bagi memantau pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam agar integriti dan kualiti perkhidmatan tidak terjejas.

Beliau memaklumkan cadangan pelaksanaan BDR secara sebahagian itu memerlukan budaya kerja yang bertanggungjawab serta pemantauan berkesan bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan.
Tambah beliau, dasar berkenaan juga penting sebagai langkah strategik untuk menguji daya tahan rakyat dalam berdepan ketidaktentuan ekonomi global, selain memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi krisis tenaga susulan konflik di Asia Barat.

Artikel lain: Isu harga minyak: Semua nak dipolitikkan! Ada pihak kurang cerdik salahkan kerajaan – PM Anwar
Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyampaikan Sumbangan Sentuhan Kasih Syawal berjumlah RM5,000 kepada setiap penerima melibatkan rumah anak yatim, rumah warga emas serta pusat latihan Orang Kurang Upaya (OKU), selain bantuan di bawah program perumahan yang dilaksanakan kerajaan.




