Tiada rekod keluar masuk, wanita warga Indonesia ditahan di KLIA2

Tiada rekod keluar masuk, wanita warga Indonesia ditahan di KLIA2

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Sepang: Seorang wanita warga Indonesia ditahan selepas dikesan memiliki cap keselamatan mencurigakan ketika melalui pemeriksaan imigresen di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2), di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, siasatan awal mendapati wanita berusia 25 tahun terbabit memasuki Malaysia melalui Imigresen Malaysia, Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, Johor.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata, bagaimanapun, pemeriksaan lanjut melalui Sistem MyIMMs menunjukkan tiada sebarang rekod rasmi pergerakan keluar atau masuk wanita itu sepanjang tempoh sehingga tahun ini.

“Susulan itu, wanita berkenaan ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Individu terbabit ditahan di Depot Imigresen KLIA2 sebelum diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Negeri Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

AKPS berkata, AKPS KLIA akan membuat siasatan lanjut bagi mengenal pasti dalang yang bertanggungjawab dan tindakan tatatertib akan diambil ke atas mana-mana pegawai yang terlibat.

Kenyataan itu menegaskan usaha membanteras pemalsuan dokumen perjalanan dan sebarang bentuk pelanggaran undang-undang imigresen akan terus dipergiat bagi memastikan keselamatan serta integriti pintu masuk negara sentiasa terpelihara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top