Tiada seorang pun pekerja Jakel diberhentikan ketika Covid-19

KUALA LUMPUR – Tiada seorang pun daripada hampir 6,000 pekerja yang bernaung di bawah Kumpulan Jakel, khususnya bahagian tekstil, kehilangan pekerjaan meskipun syarikat itu terkesan dengan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Strategiknya, Mohd Fuad Ahmad berkata, walaupun Jakel Mall tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac tahun lalu, namun syarikat itu masih bertahan hingga ke hari ini.

“Tahun lepas paling mencabar, kita tak boleh buka kedai, Jakel Mall tutup, satu Malaysia tutup, pendapatan kita terjejas.

“Macam mana pun, kuasa Allah, walaupun macam itu, kita masih bertahan, kita tak buang seorang pun pekerja,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Wisma Jakel, semalam.

Menurut Fuad, walaupun Jakel kehilangan pendapatan sehingga RM1.4 bilion pada tahun lalu, namun pusat tekstil terbaik itu mampu memastikan nasib pekerja dan ahli keluarga terbela.

“Pada asasnya, kita kena pastikan 24,000 ahli keluarga pekerja Jakel mendapat perbelanjaan secukupnya sepanjang 45 hari kedai tidak dibuka sejak 18 Mac tahun lalu.

Fuad juga tidak menafikan kakitangan Jakel banyak membantu ketika syarikat tekstil itu berdepan saat genting termasuk memperkenalkan kaedah pemasaran produk melalui dalam talian.

“Kita cari jalan, tak boleh berniaga, tak boleh buka kedai, kita punya brainstorm, buat dropship, buat personal shopper.

“Bila kita buka kedai, ada pula cabaran lain. Kalau ingat tahun lepas, selepas 45 hari kita tak berniaga sebulan setengah lebih,” katanya lagi. – MalaysiaGazette