am@hmetro.com.my
Kulai: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak bercadang bagi menetapkan sebarang prosedur operasi standard (SOP) khas pada musim Aidilfitri ini walaupun berlaku peningkatan kes baharu ketika ini.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, bagaimanapun orang ramai digalakkan untuk terus mematuhi SOP Covid-19 yang sedia ada terutama aspek pemakaian pelitup muka bagi mengelak jangkitan dan ia diyakini mencukupi bagi mengawal penularan wabak.
Beliau berkata, keadaan semasa Covid-19 menunjukkan peningkatan namun ia dalam keadaan terkawal.
Menurutnya, walaupun terdapat peningkatan sub varian Omicron dan mudah berjangkit namun kesannya amat rendah.
Katanya, oleh itu masyarakat tidak seharusnya panik atau bimbang dan mereka dinasihatkan supaya lebih berjaga-jaga, sentiasa mematuhi SOP ketika melakukan aktiviti kunjung-mengunjung dan sebagainya.
“Sekiranya ada gejala, mereka seharusnya pakai pelitup muka bagi mengelak menjangkiti individu lain, melakukan ujian pengesanan Covid-19, segera bertemu doktor dan mendapatkan rawatan sesuai.
“Amalan lain seperti biasa membasuh tangan dan menjaga kebersihan,” katanya di sidang media sempena Majlis Lawatan dan Sumbangan Aidilfitri di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai di sini hari ini.
Mengulas berkaitan keselamatan orang ramai di kawasan dilanda jerebu, Zaliha berkata, setakat ini keadaan jerebu juga dalam keadaan terkawal.
Menurutnya, bagaimanapun di kawasan yang terjejas, orang ramai diminta tidak terdedah kepada persekitaran luar sekiranya tidak berkeperluan.
“Di Johor, daerah terjejas adalah Segamat yang mencatat IPU agak tinggi.
“Kalau tidak perlu berada luar rumah, tidak perlu keluar rumah.
“Ia berikutan terdapat juga penyakit yang boleh terkesan akibat jerebu,” katanya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.
Sementara itu, Zaliha yang ditanya berkaitan pengganti Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang bersara menyatakan pihaknya akan membuat pengumuman pada tempoh terdekat.
“Untuk menjawab pengganti saya minta bersabar, sudah ada beberapa nama yang berpotensi menggantikan beliau dan dalam tempoh terdekat saya akan membuat pengumuman,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd