Tiada SPHM, jangan guna istilah No pork no lard

Tiada SPHM, jangan guna istilah No pork no lard
FRASA 'No pork no lard' tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh premis makanan yang tiada Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM). - Gambar hiasan/ Foto: CANVA

FRASA ‘No pork no lard’ tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh premis makanan yang tiada Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM). – Gambar hiasan/ Foto: CANVA

WALAUPUN ramai yang maklum bahawa frasa No pork no lard yang dipamerkan di sesetengah premis makanan tidak semestinya membawa maksud halal, hakikatnya istilah itu tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya.

Menerusi video Info Halal oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), penggunaan istilah seperti ‘Mesra Muslim’ atau No pork no lard adalah dilarang sama sekali bagi mana-mana pihak yang tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

“Istilah-istilah ini memberi gambaran seolah-olah makanan ataupun perkhidmatan itu telah mengikut piawaian halal.

“Sedangkan, tanpa sijil halal sah daripada pihak berkuasa, tiada jaminan bahawa produk ataupun perkhidmatan ini mengikut keperluan halal termasuk dari segi aspek bahan mentah, pemprosesan dan juga kebersihan,” kata JAIS sepertimana dipetik menerusi video bertajuk ‘Penggunaan ‘Muslim Friendly’ salah?’ di laman sosial Facebook JAIS baru-baru ini.

Di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, JAIS menjelaskan, undang-undang itu melarang sebarang penggunaan istilah ataupun label yang boleh mengelirukan pengguna.

“Hanya pemegang SPHM sahaja yang dibenarkan menggunakan istilah-istilah ini. Frasa No pork no lard hanya menekankan ketiadaan khinzir di dalam satu produk atau makanan, tetapi tidak menekankan bahan-bahan lain seperti alkohol, pencemaran silang ataupun gelatin tidak halal.

“Jadi, istilah-istilah ini salah digunakan jika bukan pemegang SPHM yang menggunakannya dan ia boleh menimbulkan kekeliruan serta melanggar peraturan,” kata JAIS.

Scroll to Top