Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Selasa bahawa syarikat asing yang memindahkan operasi pengeluaran mereka ke AS akan dikecualikan daripada tarif, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Jika syarikat berpindah ke Amerika Syarikat, tiada tarif!” tulis Trump dalam hantaran di Truth Social.
Terdahulu, Rumah Putih mengesahkan bahawa AS akan meneruskan pelaksanaan tarif yang diumumkan sebelum ini ke atas barangan yang diimport dari Kanada dan Mexico.
Pada awal Februari, Trump menandatangani perintah eksekutif untuk mengenakan tarif ke atas barangan dari Kanada, Mexico dan China. Tarif import AS sebanyak 25 peratus akan dikenakan ke atas semua barangan dari Kanada, kecuali sumber tenaga yang dikenakan kadar 10 peratus.
Minggu lepas, Trump mengesahkan bahawa tarif ke atas Kanada akan mula berkuat kuasa pada 4 Mac seperti yang dirancang.
© New Straits Times Press (M) Bhd