
Jonassen (kiri) mahu Jun Hao memberi fokus penuh dalam saingan BAC di China bermula esok.
BIARPUN mempunyai rekod yang baik, namun pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao diingatkan agar tidak terlalu yakin pada aksi menentang Lin Chun Yi dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China bermula Selasa ini.
Atas kertas, rekod memihak Jun Hao apabila pernah menewaskan pemain Taiwan itu pada Terbuka Hong Kong 2023 serta Sepanyol Masters 2024.
Namun Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen tidak mahu anak buahnya itu mengambil mudah prestasi lawan yang semakin baik dalam beberapa kejohanan sebelum ini.
“Chun Yi menunjukkan peningkatan cukup baik dan berada pada kedudukan yang kukuh. Jadi saya mahu lihat bagaimana kami berdepan cabaran ini.
“Bagi saya, ia satu aspek yang cukup menarik untuk disaksikan,” katanya.
Justeru, Jonassen enggan memberi tekanan ke atas Jun Hao dan berharap pemain di ranking ke-26 dunia itu berupaya menampilkan permainan lebih meyakinkan dan bertenaga.
Beliau berkata, Jun Hao perlu memberi fokus dalam setiap permainan untuk mendapatkan mata dan tidak membenarkan pemain pilihan ketujuh itu mengambil kesempatan di atas kesilapan sendiri.
“Apabila seseorang pemain yang berada pada ranking seperti Jun Hao dan akan menentang pemain nombor 13 dunia, anda tidak boleh meletakkan jangkaan untuk dia menang kerana tidak adil baginya.
“Apa yang saya mahu adalah supaya dia menampilkan aksi terbaik ketika menentang pemain ranking lebih atas. Memang dia ada rekod kemenangan (ke atas Chun Yi) tetapi banyak perubahan yang sudah berlaku,” katanya.
Seorang lagi wakil negara dalam acara itu ialah Ng Tze Yong yang dijadual berdepan juara dunia 2023 dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn.