KUALA LUMPUR: Selepas lapan kali melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), penyanyi Hazama masih melihat setiap penyertaan sebagai ruang untuk menguji kemampuan diri, bukannya semata-mata mengejar kedudukan podium.
Malah, kegagalannya meraih trofi setakat ini tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berkarya dan menyertai pertandingan berprestij itu.
Terbaharu, Hazama kembali berentap di pentas AJL40 pada 15 Ogos lalu menerusi lagu Semacam Pandora, namun sekali lagi belum berpeluang membawa pulang sebarang trofi.
Menurutnya, dapat memastikan sesebuah lagu layak ke pentas akhir AJL sudah cukup besar maknanya kerana setiap karya perlu bersaing dengan banyak lagu lain untuk merebut tempat.
“Lapan kali atau 10 kali sekalipun, saya okey sahaja. Belum ada rezeki saya untuk berada di podium AJL. Belum raih trofi juga bukan bererti kita gagal.
“Sebagai penyanyi, perkara itu tak mematahkan semangat saya. Saya menyanyi dan menghasilkan lagu untuk orang dengar. Bila dapat masuk AJL, itu sudah menjadi satu bonus dan kemenangan buat saya,” katanya.
Hazama berkata, perjalanan lapan kali menyertai AJL turut menjadi gambaran perkembangan dirinya dalam industri muzik, daripada menyanyikan lagu ciptaan orang lain sehingga berani tampil dengan karya sendiri.
“Kalau tengok perjalanan saya dalam AJL, memang ada evolusi. Kali pertama saya menyanyikan lagu orang bersama Amy Search, kemudian menyanyikan karya orang lain dan selepas itu mula berkolaborasi dengan komposer.
“Kali kelapan ini pula saya datang dengan lagu sendiri. Jadi bagi saya, dalam AJL saya bukan bersaing dengan orang lain, tetapi dengan diri sendiri dan kualiti saya,” katanya.
Sementara itu, Hazama mengakui berpuas hati apabila persembahan minimalis menerusi Semacam Pandora mendapat reaksi positif daripada penonton di media sosial.
Katanya, pendekatan itu sengaja dipilih bagi memastikan perhatian penonton lebih terarah kepada lagu, vokal dan kemampuan persembahannya tanpa terlalu bergantung kepada prop atau gimik.
“Saya memang mahu buat persembahan seperti itu untuk penonton yang sukakan sesuatu yang lebih santai dan mahu fokus kepada lagu.
“Bagi saya, ini Juara Lagu. Jadi saya mahu orang fokus kepada lagu dan apa yang saya boleh berikan sebagai penyanyi,” katanya.
Mengulas tanggapan bahawa konsep minimalis berkenaan berpunca daripada kekangan bajet, Hazama menafikannya dan menjelaskan dia sudah melalui pelbagai bentuk persembahan berskala besar dalam tujuh penyertaan terdahulu.
“Dah tujuh kali saya buat macam-macam. Kali kelapan ini saya cuba work smart pula. Mungkin kali kesembilan nanti saya buat work hard dan work smart sekali, kita tak tahu.
“Yang penting, saya cuma mahu beri variasi kepada persembahan di AJL. Menang itu bonus, kalau kalah itu perkara biasa,” katanya.

