am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas isteri Sam Bunkface, Aida Azira Hussin, 36, menyarankan kepada kaum wanita untuk mengambil tahu dan memahami undang-undang demi kebaikan sendiri bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Berdepan dengan kesulitan selepas rumah tangga yang dibina bersama vokalis kumpulan Bunkface itu berakhir, Aida turut berharap kebenaran di sebalik isu ini akan terbongkar juga.
“Kepada semua wanita di luar sana, tak kisahlah jika anda wanita bekerjaya, suri rumah, ibu tunggal, masih bergelar isteri atau tidak, saya mahu setiap wanita faham undang-undang. Faham hak anda sebagai wanita, dan juga sebagai ibu.
“Golongan wanita patut tahu sistem kehakiman kita. Tiada wanita yang mahu melalui perkara ini, jadi saya sendiri mahu menyelesaikan secepat mungkin dan berharap agar semuanya baik-baik sahaja.
“Insya-Allah hakim akan tahu hakikat sebenar, peguam akan tahu hakikat sebenar, orang sekeliling pun akan tahu juga nanti. Jadi, selagi boleh kita pertahankan, kita harus pertahankan hak kita.
“Ibu mana yang mahu berjauhan dengan anak. Segala keputusan saya buat adalah demi kepentingan dan kebajikan anak,” katanya.
Sementara itu, Aida mengambil pendekatan untuk tidak mengulas lanjut mengenai dakwaan yang dibuat oleh Sam menerusi video yang dimuat naik di media sosial pada Sabtu lalu.
Jelas Aida, pendekatan yang diambil olehnya itu adalah bagi memastikan keadaan yang keruh tidak bertambah sulit lagi. Malah, dia menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan semuanya.
“Saya tak nak komen apa-apa. Saya sedar saya orang biasa, saya tiada pengaruh. Jadi bagi saya, sekarang ini tak perlu untuk saya mendedahkan perbualan WhatsApp atau seumpamanya, kerana tak perlu untuk saya panjangkan lagi perkara ini.
“Saya juga tak mahu melukakan mana-mana pihak. Biarlah perkara ini diselesaikan oleh mahkamah. Saya hanya nak selesaikan dan tamatkan sahaja perkara ini,” katanya.
Terdahulu, Sam menerusi hantaran video di Instagram (IG) menegaskan dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab dan nafkah anak walaupun sebulan.
Pada 28 Mac lalu, Sam dan Aida hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, bagi sebutan kes pindaan nafkah anak mereka.
Aida yang bertugas sebagai penerbit tidak bersetuju dengan permohonan dibuat vokalis Bunkface itu, selain memohon bukti andai tidak mempunyai pendapatan atau tawaran persembahan seperti dikatakan.
Sam mendirikan rumah tangga dengan Aida 25 April 2015, namun bercerai empat tahun kemudian.
© New Straits Times Press (M) Bhd