Ipoh: Tiada laporan mengenai pembabitan warga pendidik atau kakitangan sekolah di Perak dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Khairudin Abu Hanipah berkata, kerajaan negeri akan terus memantau sebarang perkembangan serta bersedia mengambil tindakan terhadap golongan itu yang didapati terbabit dengan GISBH.
“Saya yakin Jabatan Pendidikan Negeri Perak akan sentiasa memantau mereka untuk memastikan tiada yang terbabit dengan isu ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Hari Terbuka dan Pesta Makanan Politeknik Ungku Omar 2024 di sini, hari ini.
Polis yang melaksanakan Op Global sejak 11 September menyelamatkan 572 kanak-kanak dan remaja kerana disyaki menjadi mangsa eksploitasi syarikat itu.
Selain itu, polis merampas pelbagai jenis buku, dokumen dan gambar berkaitan ajaran Al-Arqam dan GISBH di Melaka serta Kelantan semasa Op Global Fasa Empat di seluruh negara Sabtu lepas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




