Tiafoe mohon maaf selepas menyumpah pengadil

Tiafoe mohon maaf selepas menyumpah pengadil

Shanghai: Frances Tiafoe meminta maaf kerana mengeluarkan kata kata kesat kepada pengadil selepas pemain Amerika Syarikat (AS) itu diberi amaran pelanggaran masa dan tewas kepada Roman Safiullin di pusingan ketiga Masters Shanghai, semalam.

Pilihan ke-13, Toafoe tewas kepada pemain bukan pilihan, Safiullin 5-7, 7-5 dan 7-6(5) dalam pertarungan tiga jam apabila pemain AS itu naik angin apabila dikenakan hukuman pelanggaran masa ketika melakukan servis pada kedudukan terikat 5-5 di tiebreak terakhir.

“Tidak, tidak, saya mengambil bola dan sedia melakukan servis. Kawan, itu memang peraturannya,” kata Tiafoe berulang kali ketika berjalan ke arah jaring untuk menyakinkan pengadil dari Ecuador, Jimmy Pinoargote.

“Saya tidak mahu membuang masa, ia adalah servis kali kedua,” kata pengadil itu sebagai tindak balas dan mengakhiri pertelingkahan itu dengan menyebut ‘servis kedua’ menggunakan mikrofon.

Tiafoe terlepas mata penting itu dan akhirnya tewas perlawanan itu.

Selepas bersalam dengan Safiullin di jaring, Tiafoe melepaskan kemarahan kepada Pinoargote dan berulang kali menyumpah ketika berjalan ke tempat duduknya.

Ia menyebabkan sekumpulan kecil penyokong yang berada di situ ketawa melihat gelagatnya.

Pihak ATP tidak mengeluarkan komen segera berhubung kejadian itu, tetapi berdasarkan peraturan, pemain berusia 26 tahun itu boleh didenda sehingga AS$60,000 (RM257,000) bagi setiap pelanggaran dalam kejohanan Masters 1000.

Tiafoe kemudian memuat naik permohonan maaf di Instagram (IG) mengenai cara tindakannya itu.

“Tindakan itu tidak menggambarkan siapa saya dan bagaimana saya melayan orang.

“Saya membiarkan kekecewaan memanaskan suasana pada saat untuk untuk menghasilkan yang terbaik bagi saya dan sangat kecewa dengan cara saya menangani situasi itu.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top