Tidak adil salahkan PSM kualiti padang SNBJ – Iliyas

Tidak adil salahkan PSM kualiti padang SNBJ – Iliyas

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menganggap tidak adil menyalahkan pihaknya mengenai keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ketika saingan Pestabola Merdeka 2024 masih berbaki lapan hari sebelum dilangsungkan pada 4 dan 8 September ini.

Perkara itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Iliyas Jamil yang menegaskan pihaknya sentiasa memantau keadaan padang SNBJ sama ada sebelum, ketika atau selepas padang itu digunakan.

Ujarnya, dakwaan negatif mengenai padang sebaik selesainya aksi final Piala FA antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC pada Sabtu lalu tidak boleh dijadikan ukuran dengan mengandaikan kemungkinan situasi sama boleh berlaku ketika saingan Pestabola Merdeka berlangsung nanti.

Sebaliknya, Iliyas yakin pihaknya masih mempunyai masa untuk menyediakan padang yang sebaiknya sebelum saingan empat negara itu bermula.

“Padang itu kita akan sediakan hingga minit terakhir, maknanya pada hari permainan pun kita terus buat kerja kita sampailah sebelum perlawanan.

“Ketika perlawanan pun (waktu rehat), kita akan betulkan apa-apa yang perlu sepanjang perlawanan.

“Untuk mengeluarkan kenyataan seperti ini, ketika masih ada lebih kurang lapan hari pada saya tak adillah,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melahirkan kebimbangan mengenai mutu dan kualiti padang menjelang sepak mula Pestabola Merdeka 2024, pada minggu hadapan.

Kebimbangan itu diluahkan selepas aksi final Piala FA hujung minggu lalu yang menyaksikan JDT menang 6-1 ke atas Selangor FC.

Dalam aksi itu, kelihatan ada beberapa bahagian di permukaan padang mudah tercabut serta di penjuru tepi yang tidak rata dan berpasir.

Jelas Iliyas, beliau tidak bersetuju 100 peratus tentang andaian segelintir pihak yang mendakwa keadaan padang tidak sempurna boleh mendatangkan kecederaan kepada pemain.

“Sebenarnya kat tengah padang itu dah ‘OK’ dah, cumanya di bahagian sudut sahaja masih ada kelemahan sikit.

“Sebelum final pun saya sudah sebutkan dalam temuramah yang menyatakan di sudut ini memang kita ada masalah daripada reka bentuk stadium itu.

“Kita cuba sediakan terbaik untuk perlawanan tapi untuk menyatakan kecederaan ini disebabkan oleh padang semata-mata tak berapa nak ‘fair’,” katanya.

Isu kualiti padang SNBJ bukan perkara baharu apabila hal berkenaan sering dibangkitkan berpuluh kali sejak beberapa tahun lalu.

Ketika ini, padang SNBJ menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia yang ditukar pada pertengahan tahun lalu dengan menggantikan rumput lama iaitu Cow Grass.

Rumput baharu ini adalah kurniaan daripada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila padang jenis ini pernah digunakan kelab itu di Stadium Larkin dan Stadium Sultan Ibrahim.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top