Tidak beradab! Kerajaan kecam sekerasnya pelajar hina Islam, pijak al-Quran -Fahmi

Tidak beradab! Kerajaan kecam sekerasnya pelajar hina Islam, pijak al-Quran -Fahmi

Kerajaan mengecam sekeras-kerasnya insiden melibatkan seorang individu yang memuat naik kandungan pijak al-Quran di platform media sosial Threads menggunakan nama akaun ryandaselva.

Fahmi sifatkan tindakan pijak al-Quran biadap

Merujuk kepada laporan Bernama, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menyifatkan perbuatan itu sebagai tindakan biadab yang menghina agama Islam serta mencabar sensitiviti dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Saya telah mengarahkan siasatan dan tindakan segera oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Pada masa sama, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata MCMC akan menyelaras bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan menyeluruh dan tanpa kompromi berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Sebarang perlakuan menyentuh sensitiviti agama dan mengancam ketenteraman awam tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.

Pelajar pijak al-Quran sudah ditahan

Terdahulu, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman mengesahkan seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan untuk siasatan berhubung hantaran yang tular sejak semalam.

Mengulas isu sama, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memberi jaminan insiden itu akan diselesaikan segera dan menasihatkan orang ramai supaya bertenang.

“Tindakan-tindakan tidak beradab ini perlu ditangani segera dan kita juga mengambil langkah-langkah segera bagi memastikan ia tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak yang akan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.

Artikel lain: KPT tak ambil mudah kes pelajar UMPSA hina Islam, janji selesaikan isu dengan segera

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan turut menegaskan pihaknya memandang serius insiden berkenaan.

“Pihak berkuasa sedang menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya termasuk telah menangkap dan mendakwa individu tersebut mengikut lunas undang-undang.
“Semua pihak juga diseru untuk terus menjaga keharmonian yang telah dibina selama ini tanpa berkompromi dengan mana-mana pihak pelampau yang mahu menggugat keamanan di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan.

pijak al-quran

Sumber: Facebook Fahmi Fadzil

Scroll to Top