‘Tidak boleh diterima’, NGO mahu heret SPR ke mahkamah

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, pendaftaran pengundi 18 tahun secara automatik dijangka ditangguhkan sehingga selepas September 2022. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun bercadang mengheret kerajaan ke mahkamah atas apa yang dianggapnya sebagai “kegagalan” mewartakan pindaan Perlembagaan.

Pengasas bersama Undi 18, Qyira Yusri memberitahu FMT, alasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan pelaksanaan dasar menurunkan had umur mengundi dan pendaftaran pengundi secara automatik “tidak boleh diterima serta tidak masuk akal”.

“Ketika kemuncak Covid-19 pada November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan mengesahkan pendaftaran pengundi berusia 18 tahun secara automatik mengikut jadual untuk dilaksanakan menjelang Julai 2021.

“Ia tidak masuk akal SPR sekarang bercakap mengenai penangguhan dan cabaran dihadapinya, selepas hampir setahun setengah pandemik menular.”

Terdahulu, Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, pendaftaran pengundi 18 tahun secara automatik dijangka ditangguhkan sehingga selepas September 2022.

Katanya, sekatan pergerakan akibat pandemik mengganggu persiapan SPR untuk melaksanakan dasar itu, yang diluluskan Parlimen pada Julai 2019.

Sementara itu, kumpulan pembaharuan pilihan raya, Bersih 2.0 berkata, penangguhan itu “sangat mengecewakan” berjuta-juta pengundi muda yang menunggu peluang menunaikan tanggungjawab mereka buat julung kali.

“Walaupun alasan yang diberikan ialah sekatan pergerakan, kami tidak boleh memahami mengapa mereka menangguhkan pelaksanaan Undi18 memandangkan kebanyakan kerja ialah memproses data,” kata Pengerusinya, Thomas Fann.

Beliau berkata, SPR perlu menjelaskan secara terperinci kenapa pelaksanaan itu memerlukan masa lebih tiga tahun.

“Kegagalan berbuat demikian hanya menimbulkan kecurigaan orang ramai yang SPR sengaja menangguhkan Undi18 atas arahan parti pemerintah.”

Sementara itu, parti politik MUDA berkata, ia akan mencabar keputusan SPRM menangguhkan pelaksanaan Undi18.

“Alasan yang dikemukakan tidak masuk akal dan seolah-olah memperbodohkan rakyat,” katanya melalui peguam Lim Wei Jit.