Tidak hanya 'kawal' laut, soal kebajikan rakyat turut diutamakan

Tidak hanya 'kawal' laut, soal kebajikan rakyat turut diutamakan

anbia@hmetro.com.my

Putrajaya: Peranan Maritim Malaysia bukan hanya tertumpu kepada aspek penguatkuasaan dan keselamatan maritim, malah diperluaskan kepada kebajikan serta kesejahteraan rakyat khususnya komuniti maritim.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menegaskan komitmen untuk terus mendekati rakyat seiring dengan tema Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 iaitu Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.

“Maritim Malaysia bukan sahaja berperanan sebagai penguat kuasa di laut, tetapi turut tampil sebagai sahabat yang menyantuni rakyat melalui pendekatan berteraskan keselamatan dan kesejahteraan,” katanya lagi selepas menyempurnakan Program Pemasangan Jalur

Gemilang Peringkat Ibu Pejabat Maritim Malaysia di Putrajaya di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Nor Hisham Ibrahim, Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah serta pengarah pengarah Bahagian Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

Datuk Mohd Rosli dalam pada itu menjelaskan, pelbagai program ‘turun padang’ dilaksanakan pihaknya bagi mengukuhkan hubungan dengan masyarakat, antaranya Program Sahabat Maritim, Sekolah Angkat MADANI, Santuni MADANI dan Kampung Angkat MADANI.

Jelas beliau, Program Sahabat Maritim memberi ruang kepada agensi mendekati nelayan serta komuniti pesisir pantai dengan perkongsian berkaitan keselamatan dan undang-undang maritim.

Sementara itu, Program Sekolah Angkat MADANI, Santuni MADANI dan Kampung Angkat MADANI menjadi platform Maritim Malaysia untuk bersama masyarakat melalui program kebajikan, pendidikan serta aktiviti kesedaran keselamatan di laut.

“Program-program ini bukan sekadar acara simbolik tetapi manifestasi dan membawa mesej jelas bahawa hasrat Maritim Malaysia bukan sekadar hadir di laut, tetapi ia membawa semangat maritim mendekati komuniti serta sentiasa bersama rakyat dalam apa jua keadaan,” ujarnya.

Sebagai simbolik, beliau turut memasang Jalur Gemilang pada kenderaan jabatan dan motorsikal warga Maritim Malaysia dalam gimik pelancaran majlis itu.

Majlis yang menghimpunkan hampir 300 warga kerja Ibu Pejabat Maritim Malaysia itu dimeriahkan dengan persembahan lagu-lagu patriotik oleh Pasukan Pancaragam Maritim Malaysia sekali gus meniup semangat cintakan tanah air menjelang sambutan Hari Kebangsaan yang bakal diraikan pada 31 Ogos di Dataran Putrajaya nanti.

Maritim Malaysia bertekad untuk terus menggalas amanah menjaga keselamatan perairan negara, di samping memperkukuh hubungan dengan masyarakat melalui pelbagai inisiatif berteraskan semangat Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top